Oleh Rashidi Karim
KANGAR: “Tiada apa yang dapat dikatakan selain bersyukur walaupun cedera ketika berusaha mempertahankan beg tangan kerana mak cik tak sedar membawa barang kemas bernilai RM12,000,” kata Che Bon Yob, 56.
Dia yang membonceng motosikal ditunggangi anak saudaranya, Nurfarhani Mat Akhirm, 17, untuk ke bank kira-kira jam 11.30 pagi semalam, mengakui hanya menyedari membawa barang kemas miliknya itu apabila tiba di rumah selepas kejadian cubaan ragut terbabit.
“Dua kali peragut bermotosikal itu cuba menarik beg, tapi mak cik pegang erat walaupun tali terputus dan dia berpatah balik untuk ragut lagi,” katanya.
Malah, katanya, lelaki itu sempat berkata: “Aku nak ambil beg hang juga” sebelum menendang motosikal diboncengnya menyebabkan Che Bon tersungkur di jalan raya.
Mangsa dari Kampung Pauh Tiga Beradik, Arau di sini, cedera di lutut, pipi dan tangan dalam kejadian di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi, Simpang Empat.
Che Bon yang juga ibu kepada jurugambar Bernama, Mohd Effendey Haron, berkata peragut yang menunggang motosikal bersendirian itu mengekori mereka dari belakang dan cuba meragut beg tangan digalas di bahu, tetapi gagal.
“Walaupun cubaan pertama gagal hingga tali beg tangan terputus, dia tak putus asa dan berpatah balik untuk bertindak kali kedua merampas beg tangan mak cik,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Simpang Empat, di sini.
Dia dan Nurfarhani ditemani Mohd Effendey ke balai polis untuk membuat laporan kejadian itu jam 12.30 tengah hari.
Che Bon berkata, peragut berusia 20-an itu cukup berani kerana tidak berputus asa mencuba kali kedua selepas cubaan pertamanya gagal.
“Ketika peragut berpatah balik untuk bertindak kali kedua, mak cik sudah bersiap sedia dengan memegang erat beg tangan, tapi tidak menyangka dia menendang motosikal hingga menyebabkan kami tersungkur di atas jalan,” katanya
Menurutnya, dua pemuda yang melalui jalan raya terbabit cuba mengejar peragut itu, bagaimanapun gagal menahannya, tetapi sempat mencatatkan nombor plat motosikal berkenaan.
Sementara itu, Mohd Effendey berkata, nombor plat motosikal peragut terbabit adalah palsu dan ia milik seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pauh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, peragut menggunakan nombor plat palsu dan siasatan sedang dijalankan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan hanya cedera ringan dalam dua kali cubaan meragut. Orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta tampil membantu bagi membantu siasatan,” katanya.
Saturday, December 27, 2008
Lawan peragut
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
bahaya btol la ni... nak berjalan pun rasa tak selamat... :(
Post a Comment
Thanks for your comment.