Thursday, January 1, 2009

Azimat kaki kebas

Oleh Ahmad Othman
hmetro.com.my

KOTA TINGGI: Akibat terlalu taksub dengan ‘azimat tembaga’ yang didakwa mampu mencerahkan masa depan, termasuk menundukkan majikan jika diikat pada lengan, seorang pelajar kolej rugi RM3,200 apabila jam tangan, telefon bimbit dan sebuah komputer riba miliknya dilarikan dua lelaki, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi di bandar ini, mangsa berusia 18 tahun sedang membawa beg berisi komputer riba sebelum dihampiri dua lelaki.

Kedua-dua lelaki itu memberi salam dan berpura-pura bertanyakan arah ‘Kedai Buku Haikal’ sebelum memperdayakan mangsa menggunakan teknik silap mata pisau cukur.

Apabila mangsa memberitahu dia tidak tahu kedai berkenaan, seorang daripada lelaki itu mengucapkan terima kasih.

Namun, kata mangsa, sebelum beredar, lelaki itu secara bersopan mengatakan mengikut nasihat ‘mahagurunya’, sesiapa yang menolong seseorang wajar diberikan cenderamata.

Katanya, dia menerima satu logam kecil berukuran satu setengah sentimeter dipercayai tembaga digelar `Haikal Akbar’ sebagai hadiah lalu disuruh menggenggamnya.

Seorang lagi lelaki berpura-pura menunjukkan minat terhadap azimat itu, termasuk bertanyakan khasiat dan cara menggunakannya sebelum mangsa diajak ke surau berhampiran untuk diajar cara menggunakan tangkal itu.

Bagaimanapun, ketika mereka berjalan ke surau Bazar Kota di sini, seorang daripada lelaki terbabit mengubah haluan dan mengajak mangsa berbincang di tebing Sungai Johor berhampiran Kompleks Perniagaan dan Pasar Awam Majlis Daerah dengan alasan khuatir kehadiran orang ramai di surau membantutkan perbualan mereka.

Sambil berjalan, kata mangsa, dia diberikan gambaran jika azimat terbabit diikat pada lengan, pemakainya akan cerah masa depan kerana boleh menundukkan majikan atau orang atasan.

“Kemudian secara berbisik, lelaki itu turut menyatakan azimat itu mampu menawan gadis jika dilapik menggunakan daun sirih yang ditulis nama wanita pujaan dan diletakkan di bawah bantal sebelum nama perempuan itu diseru tiga kali ketika hendak tidur.

“Tetapi, sebagai syaratnya, jika gadis pujaan ditundukkan, pemakai azimat berkenaan mesti mengahwininya atau memaafkannya jika gadis itu melakukan kesalahan atau biadab,” katanya.

Menurut mangsa, ketika sedang berbincang di tebing tembok sungai berkenaan, lelaki itu menyuruhnya menggenggam azimat berkenaan sebelum mengeluarkan sebilah pisau cukur dan menguji kekebalannya dengan menghiris kulit lengan mangsa tanpa mendatangkan sebarang kesan luka.

Katanya, lelaki itu menggunakan pisau cukur yang sama untuk menghiris kaki seluar rakannya hingga koyak kecil.

Mangsa berkata, tanpa melengahkan masa, lelaki itu meminta rakannya membeli tiga batang jarum di pasar raya berhampiran dan rakannya bertanya jumlah wang dibawa mangsa dan dalam akaun banknya.

“Tidak sampai 10 minit, lelaki terbabit kembali dari pasar raya dengan membawa satu tabung kecil berisi jarum sebelum saya yang diiktiraf sebagai pemilik azimat itu diarah membeli benang merah, putih dan kuning.

“Bagaimanapun, lelaki itu meminta saya tidak membawa beg mengandungi komputer riba, barangan peribadi seperti jam dan telefon bimbit serta disyaratkan pergi dengan hati yang suci seperti bayi baru dilahirkan.

“Saya juga diminta tidak melanggar pantang larang termasuk menegur atau menyapa sesiapa ketika dalam perjalanan pergi dan balik untuk membeli benang berkenaan,” katanya.

Mangsa ditegur jurujual pasar raya ketika meninjau rak benang sebelum bergegas ke tempat dua lelaki terbabit menunggunya, namun kecewa apabila mendapati kedua-duanya sudah melarikan diri bersama barang miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, mengesahkan polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dua lelaki melarikan komputer bimbit jenama Compaq, dua telefon bimbit Nokia dan seutas jam tangan dengan kerugian dianggarkan RM3,200.

Sementara itu, Harian Metro menghubungi seorang pengamal seni bela diri dikenali sebagai Pak Sar, yang meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan permainan silap mata pisau cukur.

“Sebenarnya hujung pisau cukur itu atau sebelah matanya diasah menjadi tumpul manakala bahagian yang tajam dibiarkan untuk tujuan menghiris.

“Kalau wujud tangkal kebal, sudah tentu pihak tentera atau polis tidak memerlukan jaket kalis peluru dan jika benar seseorang itu kebal tentu dia akan menjadi tumpuan dunia,” katanya.

1 comments:

Anonymous said...

ni macam punya tipu pun ada gak ke? :-<

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com