KUALA LUMPUR: Sekadar berbelanja sarapan sepinggan mi goreng dan secawan kopi, lelaki gatal warga emas yang kemaruk seks berpeluang berasmara hingga ke ranjang dengan gadis digelar ‘bohsia pagi’ yang bergerak aktif di Jalan Pudu di sini.
Kebanyakan gadis muda itu yang berkeliaran mencari lelaki di kawasan terbabit bijak menggunakan pujuk rayu dan aksi manja untuk menambat hati lelaki tempatan sebelum dijadikan ‘sugar daddy’ bagi mendapatkan kemewahan.
Mereka dikesan menjadikan kafe di sebuah bangunan yang menempatkan pangsapuri di tingkat atas sebagai markas untuk menjalankan kegiatan pada waktu pagi.
Tinjauan Harian Metro mendapati gadis pelbagai bangsa itu, terutama dari China mula berkumpul sehingga mencecah 30 orang, terutama di kawasan kafe dan medan selera yang mendapat jolokan ‘syurga lelaki tua’ seawal jam 7 pagi lagi.
Gadis terbabit akan terus merayap dari satu meja ke meja lain sambil mesra melayani lelaki keseorangan atau duduk berkumpulan.
Malah, ada kalanya mereka tanpa dipelawa akan terus duduk di kerusi berhampiran pelanggan yang sedang minum sambil mempamerkan susuk tubuh menggiurkan di balik pakaian nipis.
Kaedah layanan `teman tapi mesra’ itu ternyata memikat ramai pelanggan kafe berkenaan yang kebanyakannya tidak menolak sebaik bohsia terbabit terus menarik kerusi dan duduk di sebelah mereka.
Perbualan diselang seli dengan gurau senda berkenaan tambah panas apabila ada gadis dilihat memeluk bahu atau meletakkan kepala di atas pangkuan pelanggan.
Adegan tidak senonoh berkenaan menyebabkan ramai lelaki warga emas ‘goncang’ iman sebelum tangan mereka ditarik menuju ke bilik sewa di atas bangunan terbabit untuk bermadu kasih.
Seorang penghuni di bangunan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Leong, 33, berkata gadis terbabit yang kebanyakannya menyewa di situ dikesan muncul lebih setahun lalu.
Menurutnya, mereka kerap menggunakan daya tarikan seksual untuk menambat hati lelaki sebelum menawarkan diri menjadi perempuan simpanan atau teman ranjang.
“Mereka biasanya meminta sehingga RM100 setiap kali hubungan seks dilakukan. Tapi ada juga sekadar minta dibelanja sarapan pagi.
“Untuk mengenali golongan itu mudah iaitu mereka gemar membawa beg sandang,” katanya.
Berbeza dengan kupu-kupu malam, katanya, mereka mencari sasaran sekitar jam 7 pagi sehingga waktu paling ramai pelanggan antara jam 11 hingga 1 tengah hari.
“Sebagai penghuni, saya kerap kali terserempak gadis terbabit membawa pelanggan menaiki lif untuk ke rumah sewa mereka,” katanya yang pernah beberapa kali melihat golongan isteri bergaduh dengan suami yang gemar datang ke kafe terbabit.
Dia berkata, kewujudan gadis terbabit turut menjejaskan keharmonian rumah tangga penduduk tempatan berikutan tarikan mereka menyebabkan ramai lelaki menghabiskan masa di kafe terbabit daripada di rumah.
Seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh di bangunan itu mendakwa golongan bohsia tinggi lampai persis model biasanya meletakkan nilai perkhidmatan lebih mahal sehingga RM100, namun masih boleh tawar menawar.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan yang dihubungi, berkata pelbagai operasi sudah dilakukan di kawasan terbabit untuk membanteras kegiatan tidak bermoral dijalankan gadis berkenaan.
Malangnya, walaupun sudah ratusan diberkas, mereka kembali menjalankan kegiatan sama.
“Siasatan mendapati kebanyakan gadis itu, terutama dari China memasuki negara menggunakan dokumen dan pasport sah. Mereka bagaimanapun menyalahgunakan visa lawatan sementara untuk melakukan aktiviti pelacuran.
“Tindakan dari semasa ke semasa akan terus dijalankan bagi memberkas gadis itu. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sumber : Hmetro

3 comments:
Pelik betol...mudah snagat orgluar masuk cari makan tanpa guna cara yang betul di malaysia ni... longgar sangat ke undang2 dan penguatkuasaan di Malaysia ni?
kan dorg guna paspot sah... cuma dia salahguna visa pelancung je...dah masuk malaysia, dorg buat le aktiviti yg tak bermoral ni...
Kalau media boleh detect benda ni... pihak berkuasa takkan tak boleh... ambil tindakan tegas..baru org lain takut nak buat..
Post a Comment
Thanks for your comment.