Saturday, January 31, 2009

7 dosa RM5


7 dosa RM5

 Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Mohd Harzrul Aminuddin
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Terkejut apabila menyaksikan gelagat kumpulan murid sekolah rendah asyik bermain sejenis permainan video memaparkan aksi pasangan sedang melakukan hubungan seks di sebuah kedai permainan video di sini.

Malah, ketika dihampiri, kumpulan kanak-kanak yang dipercayai berusia kira-kira 12 tahun itu tidak segan silu mempelawa wartawan Harian Metro untuk mencuba permainan video berkenaan.

“Bang, bang nak main sama ke? Seronok permainan ‘7 Sins’ (7 dosa) ini...ada dijual di merata kedai permainan video hanya RM5 sekeping.

“Saya hanya perlu melengkapkan beberapa misi sebelum dapat imbuhan iaitu watak seorang wanita berbogel...paling best dapat tengok dia main (melakukan hubungan seks),” kata seorang daripada mereka tanpa mempedulikan orang ramai.

 Seorang daripada kumpulan murid berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 12, mengaku ketagih bermain permainan video berkonsep lucah itu.

 

“Mulanya tak nampak apa yang menarik mengenai permainan ini, tapi selepas mencuba barulah saya tahu.

“Saya boleh terangsang ketika bermain permainan ini membuatkan saya ketagih mencuba beberapa jenis lagi permainan berbentuk lucah,” katanya.

Menurutnya, dia seronok melihat karakter wanita itu berbogel, malah turut mengajar bagaimana hendak mencari titik rangsangan pada tubuh wanita.

Selain 7 Sins, dia mendakwa terdapat beberapa lagi permainan berkonsep seks seperti Playboy Mansion 2 yang mengajar pemain membuat majalah lucah.

Permainan The Guy Game pula memerlukan pemain menjawab soalan untuk melihat gambar wanita bogel.

“Kalau dapat markah tinggi kita boleh tengok pula wanita itu menari tarian cabut baju (tarian bogel),” katanya.

Rakannya, Ashraf, 13, turut mengakui mengenali permainan itu melalui Internet.

“Permainan itu kini menjadi bualan hangat di laman sembang tempatan, malah saya memperoleh tip bagaimana memenangi permainan itu dengan mudah.

“Kalau tak dapat sempurnakan satu misi, saya tanya pada rakan. Mesti dia orang tahu dan ajar cara nak menang,” katanya.

Wartawan Harian Metro yang mencuba ketiga-tiga permainan itu mendapati ia tidak sesuai memasuki pasaran negara ini.

Permainan itu menggalakkan pemain melakukan tujuh jenis dosa yang dilaknat agama secara realitinya, termasuk zina dan minum arak.

Sebagai contoh, 7 Sins mengajar pemain menjadi kasanova dan misinya perlu mendapatkan seorang kenalan wanita untuk beraksi di ranjang.

Sekiranya gagal melakukan tujuh dosa itu, pemain dianggap gagal menyelesaikan misinya.

Berlainan pula dengan Playboy Mansion, pemain perlu mencari wanita untuk menghasilkan majalah lucah.

The Guy Game pula adaptasi daripada sebuah rancangan realiti televisyen. Konsep permainannya mirip rancangan soal jawab, bezanya setiap kali soalan berjaya dijawab pemain akan dihadiahkan visual wanita menayangkan buah dada.

Lebih banyak soalan dijawab dengan betul, lebih banyaklah alat sulit wanita itu boleh dilihat sehingga sampai satu tahap dapat menatap keseluruhan tubuhnya tanpa seurat benang.

Ketiadaan undang-undang khas membendung penjualan dan pengedaran permainan jenis itu membuatkan ia seolah-olah halal dimainkan golongan muda.

Ia boleh dibeli semurah RM5 sekeping dan RM2 pula dikenakan peniaga untuk sejam bermain di kedai mereka.

Tidak mustahil melalui bahan permainan berunsur negatif demikian, dapat menggalakkan perlakuan sumbang di kalangan remaja yang sedia parah pada hari ini.


 

2 comments:

Anonymous said...

macam mana tak rosak moral budak2 sekarang.. :(
sepatutnya pemilik kedai video kena bertanggungjawab atas perkara ni....

Admin said...

macam2 cara nak rosakkan minda budak skrang... Kena pulak pemilik kedai tak bertanggungjawab mcm ni...maybe pemilik kedai tu tak de anak lagi kot..kalau ada dia tahu kot mcm mana rasanya kalau anak2 dia buat mcm tu

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com