Oleh RIADZ RADZI
riadz@hmetro.com.my
| SIASAT... anggota Unit Forensik PDRM mencari bahan bukti di tempat kejadian kes pembunuhan gadis remaja yang dijumpai mati dibakar dalam tong sampah di kawasan perindustrian Mergong, semalam. |
ALOR SETAR: “Saya ingatkan anak patung, rupa-rupanya kaki manusia,” kata pekerja Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS), Mohd Zawawi Abd Majid, 27, yang menemui mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh di dalam tong sampah ketika bertugas bersama dua rakannya di Jalan Kampung Batin, Kawasan Perindustrian Mergong, dekat sini, pagi semalam.
Mayat remaja perempuan berusia belasan tahun itu dijumpai dalam keadaan sebahagian badannya terbakar kira-kira jam 8.30 pagi ketika ketiga-tiga pekerja terbabit menjalankan tugas harian mereka mengutip sampah di kawasan itu.
Mohd Zawawi berkata, dia bersama dua pekerja MBAS, Rosli Ismail, 32, dan Saedon Hamid, 46, ketika itu baru memulakan tugas untuk mengutip sampah terkejut apabila mendapati sampah yang mahu dimuatkan ke dalam lori itu mengandungi mayat.
“Pada mulanya saya tidak perasan ia mayat manusia kerana ia berada di bawah timbunan sampah. Bagaimanapun saya mula pelik apabila terlihat kaki terjulur keluar dari timbunan sampah itu. Saya cuba menguisnya dengan kayu dan mula mengesyaki ia mayat kerana ada kesan darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Mohd Zawawi berkata, tong sampah itu adalah yang pertama dikutip untuk tugasan mereka semalam dan tidak menyangka menjumpai mayat.
“Kira-kira jam 8.30 malam tadi (kelmarin), kami turut mengutip sampah pada tong sampah yang sama, tetapi ketika itu mayat berkenaan tiada. Ia mungkin dibuang awal pagi tadi (semalam),” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibakar di dalam tong sampah itu.
“Berdasarkan siasatan, ada saksi yang nampak api dan kepulan asap di kawasan mayat dijumpai awal pagi tadi (semalam),” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.
Mohd Zakaria berkata, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat yang lengkap berpakaian itu dan pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Aniesah Ahmad di talian 019-9151981 atau hubungi balai polis berhampiran.
0 comments:
Post a Comment
Thanks for your comment.