Tuesday, February 3, 2009

Padah ugut bunuh bapa

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

DIHUKUM...Muhamad Nasli dibawa keluar dari mahkamah <br>selepas dijatuhkan hukuman, semalam.
DIHUKUM...Muhamad Nasli dibawa keluar dari mahkamah
selepas dijatuhkan hukuman, semalam.

MELAKA: Gara-gara mengamuk disebabkan gagal mengawal kemarahan hingga terdorong mengugut membunuh bapanya sendiri dengan mengacukan sebilah pisau, seorang lelaki terpaksa meringkuk di penjara selama 10 bulan selepas dijatuhi hukuman Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan itu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhamad Nasli Md Zain, 34, serta menimbang rayuan dikemukakannya serta hujah Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron.

Dalam penghakimannya, Muhamad Faizal turut menasihati tertuduh supaya mengawal kemarahannya serta memikirkan kesan dan akibat perbuatannya terhadap isteri serta tiga anaknya.

“Tertuduh dengan ini, dihukum 10 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap (27 Julai 2008),” katanya.


Muhamad Nasli dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Md Zain Awang, 59, iaitu dengan mengacukan pisau sambil berkata: “aku akan bunuh kau” hingga menyebabkan mangsa ketakutan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 8679 Paya Luboh, Tangga Batu, Tanjung Kling, dekat sini, pada 26 Januari 2007 dan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Muhamad Juhari memberitahu mahkamah fakta menunjukkan mangsa seorang pesara.

Katanya, pada tarikh kejadian, ketika berada di rumah, pengadu mendapati tertuduh mengamuk menggunakan pisau.

Pengadu cuba menangkap tertuduh bersama anak-anak yang lain, namun gagal apabila dia berjaya melarikan diri.

“Saya memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh atas kesalahan dilakukannya. Sebagai anak, dia sepatutnya melindungi bapanya dan bukan mengugut bunuh,” katanya.

Sementara itu, tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu pada masa depan.

0 comments:

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com