| KOMITED...Ghaffar (kiri) bersama Razif menjalankan tugas di bilik kawalan di Balai Polis dan Penyelamat Larkin, semalam. |
JOHOR BAHRU: Semata-mata mahu mengubati kesunyian, seorang gadis belasan tahun yang tidak mempunyai teman lelaki sanggup membazir wang dengan membuat kira-kira 5,000 panggilan ‘nakal’ ke nombor bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Larkin di sini, hampir setiap hari.
Lebih menjengkelkan, gadis berusia 17 tahun yang membuat panggilan menggunakan telefon bimbitnya itu turut mempelawa pagawai bertugas di bilik kawalan untuk bersembang sambil menceritakan kehidupan sosialnya, masalah peribadi atau menawarkan diri untuk berkenalan.
Perbuatan mengacau gadis itu sering membuatkan pegawai bertugas tertekan kerana terpaksa melayan karenahnya yang membuat panggilan antara tengah malam hingga awal pagi itu.
Perlakuan gadis misteri itu didedahkan seorang pegawai bomba, Abdul Ghaffar Mohd Amin, 53, yang mengumpamakan perbuatan gadis itu sebagai mimpi ngeri yang terpaksa dihadapi beliau dan rakan setugas lain ketika bertugas.
Menurut Abdul Ghaffar, remaja perempuan itu membuat panggilan palsu menerusi talian telefon bimbit tanpa pengetahuan ahli keluarga selama beberapa bulan tahun lalu dan gemar mempermain-mainkan pegawai bertugas dengan melaporkan kejadian tidak benar.
Malah, katanya, gadis berkenaan sanggup menukar nombor telefon bimbit apabila pihaknya dapat mengesan dan mengenal pasti identiti sebenarnya menerusi Sistem Panggilan Berpusat (CCS).
“Kami mengenal pasti nombor telefon remaja perempuan itu menerusi CCS dan menghubunginya bagi memberikan nasihat dan peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan melalui cara itu juga kami cuba mengabaikan panggilan dilakukannya.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian selepas menyedari identitinya terbongkar, gadis itu menukar nombor telefon bimbitnya dan kembali membuat panggilan palsu seperti sebelumnya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ghaffar yang berkhidmat selama 31 tahun itu berkata, gangguan daripada gadis dari Muar itu disifatkan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas di bilik kawalan selama kira-kira 10 tahun.
“Kami cuba menasihatinya supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana ia merugikan diri sendiri dan boleh menganggu gugat keutamaan tugas pasukan bomba dan penyelamat.
“Malah kami turut menghubungi ibu bapa gadis berkenaan dan ternyata mereka sendiri terkejut apabila dimaklumkan perbuatan anaknya itu membuat panggilan gangguan, “ katanya.
Difahamkan, sepanjang tahun lalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menerima 24,000 panggilan gangguan termasuk kira-kira 12,000 panggilan palsu.
Panggilan kebakaran diterima adalah kurang daripada 20 kes pada setiap hari berbanding 100 panggilan salah nombor.
Mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, individu yang didapati bersalah membuat panggilan palsu boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
2 comments:
:)) Anak sappa la ni yang dok buat keje mcm ni :))
takder keje btol budak tu...:)) takder kawan kot... tu yg jadi camtu :))
Post a Comment
Thanks for your comment.