Friday, February 6, 2009

Model terkenal Brazil mati dimakan virus

Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KEMATIAN model terkenal Brazil yang sedang meningkat naik, Mariana Bridi, 20, akibat jangkitan virus pada 24 Januari lalu mengejutkan ramai pihak.

Mariana menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 pagi Sabtu akibat komplikasi berkaitan jangkitan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Bakteria berbahaya itu dikatakan bertindak balas terhadap semua jenis antibiotik dan mula menyerang organ dalaman serta mematikan tisu badannya.

Teman lelakinya, Thiago Simoes tidak menyangka Mariana akan menerima nasib malang berkenaan kerana sebelum ini dia tidak menunjukkan sebarang tanda masalah kesihatan.


Kata Simoes, dia tidak mengetahui bila dan di mana Mariana terkena jangkitan virus berkenaan kerana teman wanitanya itu memang menggemari aktiviti luar.

"Mariana mula jatuh sakit pada 30 Disember lalu dan kami segera membawanya ke hospital. Doktor memberitahu buah pinggangnya mempunyai masalah dan memberi ubat berkaitan.

"Kami membawanya pulang tanpa mengetahui doktor itu sebenarnya tersilap memberi ubat. Tetapi dua hari kemudian, keadaan Mariana semakin tenat dan virus dalam tubuhnya merebak dengan pantas menyebabkan Mariana segera dipindahkan ke sebuah hospital di Serra di tenggara Espirito Santo," katanya.

Ketika di hospital berkenaan, kata Simoes, baru dia mengetahui punca sebenar penyakit Mariana iaitu jangkitan virus yang sudah menyerang hampir ke setiap anggota badannya.

"Jangkitan virus itu mengakibatkan aliran darah serta oksigen ke kaki, tangan serta organ penting terputus dan menggagalkan fungsi utamanya.

"Ia menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk memotong kaki, tangan serta membuang hampir separuh bahagian organ dalam perut bagi menyelamatkan nyawanya.

"Namun, ternyata Mariana gagal disembuhkan kerana virus berkenaan tidak menerima sebarang ubat antibiotik dan bertindak balas ke atasnya," katanya sebak.

Bagi Simoes, Mariana adalah seorang gadis yang kuat dan tidak mudah patah semangat.

Katanya, teman wanitanya itu bukan berasal daripada keluarga senang dan dia bekerja keras untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang peragawati terkemuka.

Mariana sebelum ini pernah sedar daripada koma dan memberitahunya dia tidak ingin mati awal kerana masih banyak lagi yang belum diselesaikan.

Kata Simoes, Mariana tidak henti berdoa semoga Tuhan memanjangkan nyawanya.

"Mariana mempunyai banyak perancangan dan dia begitu bersemangat untuk menyelesaikannya. Bagi yang mengenali Mariana, mereka akan tahu betapa dia memang tidak mudah mengaku kalah dan komited pada apa yang dilakukan.

"Dia mempunyai seraut wajah cukup jelita yang membuatkannya menjadi pilihan pelbagai jenama di Brazil untuk dijadikan sebagai model.

"Saya tidak menjangkakan kehilangan Mariana secepat ini, tetapi apakan daya Tuhan ternyata lebih menyayanginya," katanya yang menafikan teman wanitanya itu mempunyai masalah pemakanan.

Dalam pada itu, model yang pernah memenangi anugerah badan tercantik pada satu pertandingan baru-baru ini pernah muncul sebagai finalis Brazil untuk Pertandingan Ratu Cantik Dunia pada 2006 dan 2007.

Menurut laporan media antarabangsa, Mariana mula menceburi dunia peragaan ketika berumur 14 tahun dan sering menyertai pertandingan ratu cantik serta pertunjukan fesyen di Brazil.

Dua tahun lalu, Mariana pernah menyertai pertandingan Wajah Tercantik Sedunia yang diadakan di Afrika Selatan dan memenangi tempat keempat keseluruhan.

Sementara itu, Perunding Neurologi, Hospital Neurologi dan Neurosurgeri, United Kingdom, Dr Charles Clarke, berkata jangkitan virus yang menimpa Mariana sangat jarang berlaku.

"Jangkitan bakteria Pseudomonas aeruginosa yang dipercayai berpunca daripada sengatan kumbang pembunuh memang jarang sekali dilaporkan berlaku.

"Kejadian yang menimpa Mariana memang tidak dijangka dan mengejutkan ahli perubatan di seluruh dunia," katanya.

Dr Greg Martin daripada Universiti Emory, Atlanta, Amerika Syarikat berkata, pihaknya tahu kesan buruk yang bakal terjadi apabila seseorang dijangkiti virus berkenaan, tetapi mereka tidak tahu apa yang menjadi puncanya.

"Jangkitan virus itu adalah satu ancaman kesihatan utama di negara ini yang membunuh sekurang-kurangnya 800,000 orang setiap tahun.

"Sistem pertahanan badan akan terjejas dan ia akan mengakibatkannya bertindak di luar kawalan," katanya.

1 comments:

Anonymous said...

ni mesti kes cantik jasad je tapi kosong jiwa dan hati, tu yg visua datang.. muhahaha

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com