Tuesday, December 30, 2008

‘Kami jual ubat perangsang seks bukan pil gugur kandungan’

KUALA LUMPUR: “Kami tak jual ubat gugur kandungan, kami hanya jual ubat kuat saja,” kata seorang peniaga ubat-ubatan haram ketika menegaskan jenis ubat serta pil yang dijual mereka di kawasan kaki lima Chow Kit.

Seorang peniaga ubat yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat berkata, walaupun dia menjual ubatan haram membabitkan pil perangsang seks yang diambil dari negara jiran, namun dia tidak menjual pil cegah hamil sama ada yang haram atau diluluskan kerajaan.

Katanya, kebanyakan aktiviti penjualan pil serta ubatan yang dijual di sini adalah dari jenis merangsang serta menguatkan daya seksual seseorang dan bukan yang bersifat menggugurkan kandungan.

“Memang saya dan rakan yang lain berniaga ubat secara haram, tapi ia hanya membabitkan ubatan perangsang seksual saja, kami tidak menjual sebarang pil mencegah kehamilan.

“Malah, kami berniaga di sini sudah lama dan ada antara kami sudah lebih lima tahun menjual ubat seks, namun saya pasti tidak ada antara kami yang menjual ubat atau pil bagi mencegah seseorang itu mengandung.

“Perkara ini boleh saya sahkan kerana semua peniaga di sini saya kenal dan jika terdapat individu atau pihak tertentu menjual ubat gugur berkenaan secara sembunyi sekalipun, kami boleh mengesannya,” katanya.

Sumber : Hmetro

Saturday, December 27, 2008

`Saya buat...tapi saya mabuk’

Oleh Erywan Norshal



SHAH ALAM: “Saya melakukan perbuatan itu, tetapi pada masa itu saya mabuk,” kata seorang pekerja kilang yang didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anaknya berumur lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berumur 26 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia yang memakai kemeja-T biru dan seluar kelabu tenang ketika mendengar jurubahasa membaca pertuduhan itu terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap anaknya yang berumur lima tahun empat bulan.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Padang Jawa, dekat sini, Disember lalu.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin yang mengendalikan kes terbabit tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Hakim Hasbi Hasan menetapkan 28 Januari tahun depan untuk jatuh hukum dan memerintahkan Wan Noora menyiapkan dokumen termasuk fakta kes berkenaan.

Lawan peragut

Oleh Rashidi Karim

KANGAR: “Tiada apa yang dapat dikatakan selain bersyukur walaupun cedera ketika berusaha mempertahankan beg tangan kerana mak cik tak sedar membawa barang kemas bernilai RM12,000,” kata Che Bon Yob, 56.

Dia yang membonceng motosikal ditunggangi anak saudaranya, Nurfarhani Mat Akhirm, 17, untuk ke bank kira-kira jam 11.30 pagi semalam, mengakui hanya menyedari membawa barang kemas miliknya itu apabila tiba di rumah selepas kejadian cubaan ragut terbabit.

“Dua kali peragut bermotosikal itu cuba menarik beg, tapi mak cik pegang erat walaupun tali terputus dan dia berpatah balik untuk ragut lagi,” katanya.

Malah, katanya, lelaki itu sempat berkata: “Aku nak ambil beg hang juga” sebelum menendang motosikal diboncengnya menyebabkan Che Bon tersungkur di jalan raya.

Mangsa dari Kampung Pauh Tiga Beradik, Arau di sini, cedera di lutut, pipi dan tangan dalam kejadian di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi, Simpang Empat.

Che Bon yang juga ibu kepada jurugambar Bernama, Mohd Effendey Haron, berkata peragut yang menunggang motosikal bersendirian itu mengekori mereka dari belakang dan cuba meragut beg tangan digalas di bahu, tetapi gagal.

“Walaupun cubaan pertama gagal hingga tali beg tangan terputus, dia tak putus asa dan berpatah balik untuk bertindak kali kedua merampas beg tangan mak cik,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Simpang Empat, di sini.

Dia dan Nurfarhani ditemani Mohd Effendey ke balai polis untuk membuat laporan kejadian itu jam 12.30 tengah hari.

Che Bon berkata, peragut berusia 20-an itu cukup berani kerana tidak berputus asa mencuba kali kedua selepas cubaan pertamanya gagal.

“Ketika peragut berpatah balik untuk bertindak kali kedua, mak cik sudah bersiap sedia dengan memegang erat beg tangan, tapi tidak menyangka dia menendang motosikal hingga menyebabkan kami tersungkur di atas jalan,” katanya

Menurutnya, dua pemuda yang melalui jalan raya terbabit cuba mengejar peragut itu, bagaimanapun gagal menahannya, tetapi sempat mencatatkan nombor plat motosikal berkenaan.

Sementara itu, Mohd Effendey berkata, nombor plat motosikal peragut terbabit adalah palsu dan ia milik seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pauh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, peragut menggunakan nombor plat palsu dan siasatan sedang dijalankan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan hanya cedera ringan dalam dua kali cubaan meragut. Orang ramai yang melihat kejadian terbabit diminta tampil membantu bagi membantu siasatan,” katanya.

Wednesday, December 24, 2008

Peniaga ditipu rakan niaga ‘alam maya’

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga telefon bimbit yang menjalankan urusan perniagaan di ‘alam maya’ dengan seorang lelaki warga China menanggung kerugian RM100,000 selepas ditipu lelaki terbabit.

Mangsa terpedaya dengan helah itu selepas membaca artikel penjualan telefon bimbit pada 7 November lalu sebelum menghubunginya.

Selepas yakin dengan penjelasan diberikan, mangsa berusia 30-an dan mempunyai perniagaan menjual telefon bimbit di pusat beli-belah di ibu kota bersetuju sebelum memasukkan sejumlah wang ke akaun lelaki terbabit.

Sumber berkata, urusan jual beli telefon bimbit pertama dibuat antara mangsa dengan rakannya ialah pada 21 November lalu dan mangsa memasukkan RM5,000 ke akaun rakannya di China untuk membeli 20 telefon model Apple iPhone.

“Tiga hari kemudian barang dipesan tiba di pejabat rakannya kira-kira jam 12.30 tengah hari di SS15, Subang Jaya.

Mangsa sekali lagi membuat tempahan 30 telefon bimbit iPhone dan memasukkan RM45,000 ke akaun lelaki terbabit dan barang yang dibeli tiba pada masa yang dijanjikan,” katanya.

Bagaimanapun, tempahan kali ketiga yang dibuat mangsa pada 2 Disember lalu tidak menjadi kenyataan apabila barang yang dipesan itu tidak diterima.

Mangsa memasukkan RM100,000 ke akaun lelaki terbabit untuk membeli 40 lagi telefon bimbit.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun H S lee, Khamis lalu.

Sumber : Hmetro

Tuesday, December 23, 2008

Dua beranak nafsu haiwan

Oleh Ahmad Saufi Mansor
opie@hmetro.com.my
BUTTERWORTH: Bernafsu haiwan adalah perkataan paling sesuai untuk dua beranak, termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan polis selepas disyaki menodai seorang bayi perempuan baru berusia 20 bulan.

Kejadian itu hanya disedari ibu bayi berkenaan apabila pulang ke rumahnya di sini kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu apabila melihat bayinya menangis begitu lama.

Sebelum itu, sumber berkata, wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai juruwang itu meminta ibunya mengambil bayinya yang ditinggalkan di rumah pengasuh kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Katanya, wanita itu kemudian mendapati bayinya menangis dengan kuat apabila dibawa pulang ke rumah, tetapi dimaklumkan ibunya dia mungkin demam.

“Wanita itu yang tidak berpuas hati kemudian memeriksa dan mendapati ada kesan darah dan luka pada bahagian sulit bayi perempuannya

“Dia kemudian terus membawa bayinya yang menangis dengan kuat tidak berhenti-henti ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa. Bagaimanapun, keadaannya kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HSJ,” katanya.

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis.

Ibu kanak-kanak itu yang enggan dikenali, berkata dia tidak menyangka kejadian berkenaan boleh berlaku ke atas bayi perempuannya.

Menurutnya, dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh berkenaan sejak 14 November lalu dan menjelaskan bayaran RM150 untuk bulan pertama.

“Kejadian itu memang di luar jangkaan kerana tiada siapa memberitahu perangai sebenar lelaki berkenaan. Dia tergamak melakukan perkara itu ke atas bayi saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Superintendan Mohd Sukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, polis sudah menahan seorang lelaki berusia lewat 30-an dan anak lelakinya pada Sabtu lalu untuk membantu siasatan kes berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kami masih melakukan siasatan berhubung kejadian berkenaan,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sumber : Hmetro

Monday, December 22, 2008

Sinar baru kes Nurin

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KUALA LUMPUR: Misteri pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang belum terungkai lebih setahun lalu menemui ‘sinar’ baru apabila sebuah syarikat swasta tempatan menawarkan sistem teknologi terkini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, sistem itu menggunakan teknologi luar negara dan mampu menghasilkan imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih jelas sekali gus membantu mengenalpasti nombor pendaftaran motosikal milik suspek pembunuhan kanak-kanak perempuan terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata satu mesyuarat membabitkan PDRM dan wakil syarikat berkenaan dijangka diadakan minggu ini untuk membincangkan perkara itu.

“Polis sudah menghantar rakaman CCTV yang diambil sekitar lokasi mayat Nurin ditemui kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) namun sehingga kini masih gagal membantu siasatan.

“Ia berikutan imej rakaman CCTV berkenaan agak kabur dan menyukarkan usaha mengecam wajah suspek termasuk nombor pendaftaran motosikal digunakannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Program Merakyatkan Seni Budaya di sini, semalam.
Menurut Musa, pihaknya bagaimanapun berharap sistem milik syarikat berkenaan dapat memberi petunjuk baru untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Melalui mesyuarat itu, kita akan memutuskan sama ada mahu menggunakan sistem terbabit atau sebaliknya sekali gus membantu polis melengkapkan siasatan,” katanya.

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 34, ketika dihubungi berkata selain bersyukur, dia adalah orang paling gembira sekiranya sistem berkenaan dapat membantu mengesan sekali gus menahan suspek yang membunuh anak perempuannya itu.

“Bagi saya, sekiranya nombor pendaftaran motosikal berkenaan dapat dicam, ia sudah cukup bagi polis untuk memberkas penjenayah kejam terbabit.

“Selain itu, kami sekeluarga menganggap kematian Kak Ngah (Nurin) terbela selepas sekian lama tidak dimaklumkan sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan,” katanya.

Nurin Jazlin Jazimin, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, hilang pada 20 Ogos tahun lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat didera secara seksual.

Namun, sehingga kini, lelaki bermotosikal yang dirakamkan CCTV membawa beg sukan dipercayai mengandungi mayat kanak-kanak itu dan meletakkannya di sebuah premis di Taman Petaling Utama, 16 September, gagal dikenal pasti.

Sumber : Hmetro.com

Sunday, December 21, 2008

Bunuh kerana panik

Oleh OMAR OSMAN
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang panik dan ketakutan selepas melahirkan anak luar nikah dipercayai bertindak kejam dengan menghentak bayi yang baru dilahirkan sehingga mati sebelum mencampaknya ke luar rumah.

Sebelum kejadian di Kampung Bujang, Merbok itu, kira-kira 5 petang kelmarin, remaja itu dikatakan berkurung lama di dalam bilik tanpa disedari oleh keluarganya bahawa dia dalam proses melahirkan anak.

Bagaimanapun, tembelangnya akhirnya terbongkar apabila bapanya yang meninjau kawasan di belakang rumah mereka menemui satu mayat bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat.

Menurut sumber, bapa remaja yang mengesyaki ia hasil perbuatan anaknya kemudian menyoal remaja terbabit.

Katanya, remaja perempuan itu kemudian dikatakan mengakui perbuatan, menyebabkan keluarganya membawa dia dan bayi yang dilahirkan itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan segera.

“Bagaimanapun, doktor yang mengendalikan kes itu di HSAH mengesahkan bayi yang dilahirkan cukup bulan itu sudah meninggal dunia.

“Siasatan seterusnya mendapati bayi terbabit mati akibat dihentak dengan objek keras sebelum dibuang di belakang rumah.

“Remaja terbabit kini ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, ketika disoal siasat, remaja berkenaan mengaku dia bertindak demikian kerana lupa diri akibat terlalu bimbang dengan tindakan bapanya jika mengetahui dia melahirkan anak luar nikah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Hashim Ali, yang mengesahkan kejadian itu berkata, remaja perempuan terbabit dirawat di HSAH selepas dibawa oleh bapanya selepas mengetahui perbuatannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber : Hmetro

Apa dosaku?

Oleh ZAINUDDIN ZAIN dan NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
metahad@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Apalah dosa saya. Kalau saya kaki perempuan atau penagih dadah, saya boleh terima hakikat ini, namun saya tidak pernah melakukan semua perkara terkutuk itu.

“Sebab itu saya buntu dan sukar percaya apabila doktor sahkan saya pembawa virus HIV,” kata pemuda berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal.

Kamal berkata, dia disahkan doktor sebagai pembawa virus maut itu pada Julai lalu selepas menjalani ujian saringan sebagai syarat untuk melangsungkan perkahwinan.

“Seingat saya juga, saya tidak pernah menjalani pemindahan darah. Saya dimasukkan ke hospital hanya sekali iaitu ketika berusia 12 tahun. Itupun kerana patah kaki selepas terbabit kemalangan jalan raya,” katanya kepada Metro Ahad.

Sehubungan itu, kata Kamal, dia berasa dunianya cukup gelap apabila ujian mengesahkan dia pembawa virus HIV.

Menurutnya, ada ahli keluarganya mengesyaki dia mendapat virus itu daripada ibu bapanya, tetapi dia tidak mahu memikirkan kemungkinan itu kerana kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia.

“Ibu saya meninggal pada 2000 kerana barah otak pada usia 40 tahun, manakala ayah pula pada 2002 kerana barah paru-paru ketika berusia 42 tahun.

“Saya tidak mahu menuding jari ke arah ibu dan ayah saya kerana mereka menjaga kami adik-beradik dengan baik. Saya tidak mahu ada prasangka buruk terhadap mereka,” katanya.

Lagipun, kata Kamal, dia tidak pernah melihat tanda sama ada ibu atau bapanya menghidap HIV sepanjang hidup mereka.

“Yang pasti, sejak disahkan pembawa virus HIV, hidup saya sungguh tertekan, apatah lagi tiada pihak dapat memberi jawapan bagaimana saya boleh dijangkiti. Hanya Allah tahu perasaan saya sekarang,” katanya.

Menurutnya, apabila dia menceritakan masalah dialaminya kepada beberapa pihak, ada yang menuduhnya penipu dan menjauhinya, menyebabkan dia hanya memaklumkannya kepada insan yang akrab dengannya.

“Setakat ini, selain saudara yang rapat, hanya seorang rakan tahu saya positif dijangkiti HIV dan mereka memberi semangat untuk saya melawan penyakit ini,” katanya.

Namun, kata Kamal, penerimaan daripada tunang serta keluarganya sungguh menyedihkan dan mereka seolah-olah menjatuhkan hukuman ke atasnya sebaik saja dia disahkan pembawa HIV.

“Bayangkan saya menjalani ujian saringan HIV bersama bakal isteri kerana kami sepatutnya mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu, tetapi kini semuanya hancur berkecai.

“Orang yang saya cintai dan impikan untuk hidup semati dan membina keluarga bersama bukan saja tidak faham, sebaliknya terus meninggalkan saya, termasuk tidak lagi menjawab panggilan telefon.

“Tarikh 15 Julai 2008 akan saya terus kenang seumur hidup kerana wanita yang sepatutnya menjadi isteri saya memandang saya dengan renungan menjijikkan,” katanya.

Kamal berkata, dia mengenali bakal isterinya yang juga berusia 24 tahun secara tidak sengaja apabila tersilap mendail nombor telefon.

“Sejak itu kami sering berbalas SMS. Secara kebetulan, rumahnya terletak bersebelahan kampung saya di Kelantan. Sehubungan itu, setiap kali pulang ke kampung, saya pasti akan menziarahinya.

“Selepas berkawan kira-kira tiga tahun, kami bertunang Februari lalu dengan menetapkan perkahwinan enam bulan kemudian (Ogos lalu).

“Kini, keluarganya menghalang saya berjumpanya. Saya juga diberitahu, tunang saya ‘dilarikan’ ke Terengganu supaya saya tidak berusaha mencarinya,” katanya.

Mengenai kehidupannya sekarang, Kamal yang juga anak sulung tiga beradik berkata, dia hidup berseorangan kerana bekerja di Pulau Pinang manakala dua adiknya kini tinggal di Kelantan.

“Saya terpaksa berlakon dengan bersikap biasa di tempat kerja kerana tidak mahu orang lain tahu keadaan diri saya kerana bimbangkan penerimaan mereka.

“Saya bekerja keras setiap hari kerana hanya dengan bekerja dapat menghilangkan kesedihan dan keresahan di dalam diri saya,” katanya.

Kamal berkata, ketika di rumah pula, dia banyak menghabiskan masa dengan bersembahyang dan mengaji al-Quran.

“Saya mengamalkan beberapa surah selain banyak berzikir kerana yakin ini ujian Allah dan di sebalik orang berkata HIV tidak dapat diubati, saya yakin tidak ada penyakit yang tiada penawar di dunia ini.

“Saya mengamalkan perubatan homeopati dan membayar sehingga RM1,500 sebulan untuk kos ubat,” katanya.

Apabila ditanya kenapa dia tidak mendapat rawatan di hospital kerajaan kerana ubatnya percuma, Kamal berkata, dia dimaklumkan harapan untuk sembuh dengan perubatan homeopati adalah lebih tinggi.

“Saya sekadar mencuba. Semuanya ketentuan Allah. Setakat ini saya menjalani tiga ujian saringan, masing-masing dua di Kelantan dan sekali di Pulau Pinang, dan ia masih positif menunjukkan saya pembawa virus HIV,” katanya.

Ditanya perkara yang ingin diluahkan jika berpeluang berjumpa atau bercakap dengan tunangnya, Kamal berkata:

“Saya hanya berharap dia menerima saya sebagai rakan kerana sedar dengan kejadian ini, tiada wanita mahu menjadikan saya suami mereka, walaupun angan-angan saya memang untuk berkeluarga dan mempunyai anak.

“Saya juga akan meminta tunang tidak menyisihkan saya kerana kami pernah ada perasaan kasih dan sayang dulu. Apa yang berlaku bukan kehendak saya.

“Biar satu dunia tidak percayakan saya, tetapi saya yakin Allah SWT tahu perkara sebenar dan saya akan terus bersabar dengan ujian yang cukup besar ini
Sumber : Hmetro

Saturday, December 20, 2008

Pesta seks rumah datuk

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai mempelawa teman lelaki dan tiga pasangan sebaya lain datang ke rumah datuknya di Muar, dipercayai untuk berpesta seks ketika warga emas itu menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Penduduk kampung mulanya menasihatkan empat pasangan itu supaya pulang ke rumah masing-masing selepas menyedari mereka seolah-olah mencari ‘port’ untuk memadu kasih.

Apa yang mengejutkan, dua daripada pasangan itu termasuk remaja berkenaan bertindak biadab apabila tidak mengendahkan amaran penduduk.

Dua lagi pasangan pula beredar dari rumah itu kerana khuatir ditangkap khalwat.

Sikap kurang ajar kumpulan remaja berkenaan yang membelakangkan agama dan hukum menyebabkan penduduk hilang sabar lalu mengepung sebelum menyerbu rumah berkenaan, tengah hari kelmarin

Sumber memberitahu Harian Metro, kira-kira 10 penduduk yang menyerbu rumah itu mendapati ada dua pasangan dalam rumah berkenaan membabitkan dua remaja perempuan berusia 14 tahun, seorang daripadanya cucu pemilik rumah itu.

Teman lelakinya juga berusia 14 tahun dan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah.

“Ada antara remaja berkenaan tidak berpakaian dan mereka baru terjaga daripada tidur selepas dikejutkan penduduk.

“Pemeriksaan dalam rumah itu pula mendapati terdapat cakera video digital (DVD) lucah dalam pemain DVD selain ubat batuk di sebuah bilik,” katanya.

Menurutnya, penduduk menghubungi Jabatan Agama Johor (JAJ) Muar untuk mengambil tindakan susulan berikutan penangkapan itu.

Dia berkata, pada sebelah malam sebelum tangkapan dilakukan, penduduk pergi ke rumah berkenaan apabila menyedari ada empat pasangan di dalamnya.

“Ketika itu, mereka hanya memberi amaran dan menyuruh semua remaja berkenaan dari kampung sama supaya pulang ke rumah masing-masing.

“Malangnya, amaran yang diberikan itu tidak diendahkan menyebabkan penduduk mengepung rumah itu dan menahan semua remaja yang ada.

“Kebanyakan penduduk tahu, datuk remaja dengan ditemani ahli keluarganya pergi ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan.

“Namun, remaja itu pulang sendirian sebelum membawa rakan dan teman lelaki masing-masing tidur di rumahnya.

“Empat remaja itu kini ditahan di Balai Polis Muar sebelum dibawa ke pejabat JAJ (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Hmetro

Friday, December 19, 2008

Pemilik syarikat pinjaman sedang joging ditembak

AHLI keluarga Gunasegaran menenangkan salah seorang daripada mereka yang tidak dapat menahan sedih selepas mengetahui kejadian tembak.

SEGAMAT: Seorang pemilik syarikat pinjaman wang berlesen bergelar Datuk ditemui mati dipercayai ditembak beberapa das ketika berjoging di tepi Jalan Orkid, di sini, pagi semalam.

Mayat Datuk M Gunasegaran, 49, ditemui terbaring berlumuran darah oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan kira-kira jam 6.15 pagi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Ali, berkata polis masih belum dapat mengesahkan bilangan tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa, bagaimanapun menemui dua butir peluru di lokasi kejadian.

"Mangsa adalah pemilik syarikat pinjaman wang berlesen yang menjalankan perniagaan di Jalan Hai Her Wan, terletak berdekatan lokasi kejadian tembak itu," katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Abdul Majid berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa bermalam di tingkat atas syarikatnya dan keluar berjoging kira-kira jam 6 pagi sebelum ditembak.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat, di sini, untuk bedah siasat dan Unit Forensik Bukit Aman menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian.

Sumber : Bharian.com.my

Thursday, December 18, 2008

Bomoh anak dara pencuri

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

KUANTAN: Gadis ini baru berusia 20 tahun, tetapi dia sudah menjadi pengamal perubatan tradisional sepenuh masa, termasuk menawarkan rawatan memulihkan penyakit lemah syahwat bagi lelaki.

Malangnya, gadis yang masih bujang itu dikatakan menyalahguna kepercayaan pesakit yang mendapatkan khidmatnya apabila mengambil kesempatan mencuri barang kemas dan wang mereka ketika melakukan rawatan.

Setakat ini, polis menerima aduan tiga bekas pesakit bomoh itu yang mendakwa kerugian wang dan barang kemas bernilai RM11,000 dan mengesyaki ada kaitan dengan gadis dari Beserah, di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata polis menahan reman gadis terbabit selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

Beliau turut meminta pesakit lain yang kehilangan barangan berharga dan wang tampil membuat laporan.

Katanya, bekas pesakit terbabit menyedari wang dan barang kemas mereka lesap sejurus mendapatkan rawatan daripada gadis itu di rumahnya.

“Polis menerima laporan pada 11 November lalu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan daripada tiga individu yang mendakwa wang dan barangan berharga mereka dicuri gadis terbabit.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis membuat serbuan ke rumah gadis itu kira-kira jam 10.30 malam kelmarin (Isnin),” katanya.

Dalam serbuan itu, polis mendapati lebih 20 pesakit lelaki dan wanita sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan daripada gadis terbabit.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa menyedari kehilangan barang kemas dan wang tunai mereka selepas pulang ke rumah masing-masing.

“Menurut aduan mangsa, gadis itu mengarahkan mereka meletakkan beg duit dan barang kemas di bawah kepala ketika berbaring dalam sebuah bilik yang dikhaskan untuk merawat pesakit.

“Mangsa mendakwa seperti dipukau ketika dibaringkan sebelum dia memulakan rawatannya dari hujung kepala hingga hujung kaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa langsung tidak menyedari bagaimana gadis itu mengambil barang kemas dan wang tunai sedangkan diletak di bawah kepala.

“Semua barang berharga dan wang tunai dikatakan ghaib beberapa saat umpama silap mata,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Haris, ibu bapa gadis terbabit ketika disoal siasat mengaku tidak tahu menahu kegiatan anak mereka mencuri wang dan barang kemas pesakit.

Polis mendapati gadis itu menyediakan bilik khas untuk menjalankan rawatan mengurut tubuh pesakit di samping memberi minum sejenis air kononnya sudah dijampi dan mampu menghilang kesakitan yang dialami mereka.

Gadis terbabit turut mengenakan bayaran terhadap pesakit dan setiap bayaran berbeza mengikut kaedah rawatan dan jenis penyakit.

Difahamkan, gadis itu menggunakan keayuan wajah untuk memikat lebih ramai pelanggan, terutama lelaki supaya datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan pelbagai jenis penyakit.

Namun, perkhidmatan memulihkan penyakit lemah syahwat dikatakan paling laris dan kebanyakan pesakit lelaki pertengahan umur.

Source : Hmetro

Tanam 150 susuk berlian pikat VIP

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Persaingan sengit untuk mengejar pelanggan VIP mendorong segelintir pelayan pelanggan (GRO) sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk kelihatan cantik luar biasa dengan memasang susuk berlian di seluruh anggota badan, termasuk kemaluan.

Mereka sanggup mengetepikan ajaran Islam yang melarang amalan terbabit semata-mata bimbang pelanggan tetap beralih kepada GRO lain yang lebih jelita dan menggoda.

Perbuatan memasang susuk itu didedahkan seorang bekas GRO dikenali sebagai Nita, 20, kepada wartawan Harian Metro yang melakukan siasatan mengenai amalan susuk di kalangan wanita, apatah lagi GRO.

Nita mendakwa memasang lebih 150 susuk berlian pada seluruh anggota badan, termasuk 30 susuk berlian di muka dan kemaluan untuk hidup dalam dunia GRO yang serba mewah.

Katanya, dia hidup mewah dengan wang simpanan lebih RM200,000 apabila sering menjadi buruan golongan VIP yang tertipu dengan kecantikan dan layanan istimewanya.

“Saya bekerja sebagai kakitangan di sebuah bank dan disebabkan mahu mencari wang tambahan, saya membuat kerja separuh masa sebagai GRO di kelab malam di ibu kota.

“Persaingan dengan GRO lain yang muda, menggoda dan jelita menyebabkan saya cuba mencari jalan supaya sentiasa laku serta tidak putus-putus mendapat pelanggan.

“Selepas dipengaruhi beberapa rakan yang memasang susuk berlian, saya mengikut jejak mereka untuk kelihatan cantik,” katanya.

Nita berkata, dia memasang susuk berlian berharga RM150 sebiji secara berperingkat dengan seorang bomoh susuk di Chow Kit sejak berusia 18 tahun hasil kerja sebagai GRO.

Mulanya dia takut, tetapi kerana terdesak mahu mendapat pelanggan kaya, semua halangan tidak diendahkan.

“Hidup saya dilimpahi kemewahan ketika menjadi GRO dengan upah mencecah RM3,000 sekali melayan pelanggan. Saya turut dilayan seperti VIP jika berada bersama mereka,” katanya.

Bagaimanapun, selepas dua tahun terjebak menjadi GRO, dia terlantar hampir seminggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta akibat sakit teruk dipercayai terkena ilmu hitam.

Dia sakit teruk yang tidak dapat diketahui punca selepas melayan seorang VIP.

“Selepas sihat, ada beberapa peristiwa berlaku menyebabkan saya insaf dengan dosa yang dilakukan lalu mengambil keputusan tidak menjadi GRO lagi.

“Saya mencari bomoh terbabit bagi mengeluarkan semula susuk berlian yang dipasangnya, tetapi dia enggan berbuat demikian,” katanya.

Lantaran itu Nita berjumpa seorang ustaz yang diperkenalkan seorang rakan.

“Saya tidak mahu mati dalam keadaan memakai susuk walaupun ada mendakwa tidak mungkin ada bomoh lain dapat mengeluarkannya kecuali bomoh yang memasangnya.

“Namun, dengan izin Allah selepas hampir enam jam, semua susuk berlian dikeluarkan ustaz berkenaan,” katanya.

Nita berkata, dia bersyukur kerana sedar perbuatan memakai susuk hanya membawa keburukan pada diri sendiri.

“Bayangkan, saya sanggup memasang lebih 30 susuk berlian di kemaluan semata-mata bagi membuatkan pelanggan saya ‘angau’ dan tidak melupakan saya selepas kami melakukan hubungan seks,” katanya.

Sementara itu, ustaz terbabit yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 40-an, berkata dia mengubati Nita selepas bomoh yang memasukkan susuk berlian kepadanya enggan mengeluarkannya kerana berpendapat susuk berlian halal sehingga mendakwa pemakainya boleh menunaikan haji.

“Selepas mengubatinya dan membaca ayat suci al-Quran, ratusan susuk berlian yang dipasang berjaya dikeluarkan,” katanya.

Tuesday, December 16, 2008

Padah tiru Spiderman

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cuba menyelinap keluar rumah melalui tingkap bilik tidurnya di tingkat 11 sebuah pangsapuri dengan meniru aksi memanjat dinding ala ‘Spider-Man’ membawa padah apabila dia terjatuh, semalam.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Joye, 10, dipercayai keluar dari tingkap bilik tidurnya di sebuah pangsapuri 17 tingkat di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini.

Menurutnya, murid sekolah rendah itu dipercayai merancang mahu melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Bagaimanapun, dia yang terkurung nekad cuba keluar melalui tingkap biliknya.
“Tindakan berani mangsa itu dipercayai dipengaruhi filem pernah ditontonnya. Adegan dalam filem itu tampak mudah menyebabkan mangsa cuba meniru,” katanya.
Bagaimanapun, ketika sedang memanjat tingkap kondominium itu, dia tergelincir sebelum terjatuh atas jalan di bawah pangsapuri itu.

“Mangsa yang parah di kepala akibat hentakan kuat mati serta-merta di tempat kejadian. Mayatnya yang ditemui penduduk kondominium itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya.
Source : Hmetro

`Bohsia pagi’ jerat warga emas




Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekadar berbelanja sarapan sepinggan mi goreng dan secawan kopi, lelaki gatal warga emas yang kemaruk seks berpeluang berasmara hingga ke ranjang dengan gadis digelar ‘bohsia pagi’ yang bergerak aktif di Jalan Pudu di sini.

Kebanyakan gadis muda itu yang berkeliaran mencari lelaki di kawasan terbabit bijak menggunakan pujuk rayu dan aksi manja untuk menambat hati lelaki tempatan sebelum dijadikan ‘sugar daddy’ bagi mendapatkan kemewahan.

Mereka dikesan menjadikan kafe di sebuah bangunan yang menempatkan pangsapuri di tingkat atas sebagai markas untuk menjalankan kegiatan pada waktu pagi.

Tinjauan Harian Metro mendapati gadis pelbagai bangsa itu, terutama dari China mula berkumpul sehingga mencecah 30 orang, terutama di kawasan kafe dan medan selera yang mendapat jolokan ‘syurga lelaki tua’ seawal jam 7 pagi lagi.

Wartawan yang menyamar pelanggan selama dua hari mendapati golongan bohsia itu tidak segan silu menyapa atau menghampiri orang ramai yang sedang makan, terutama lelaki warga emas.


Gadis terbabit akan terus merayap dari satu meja ke meja lain sambil mesra melayani lelaki keseorangan atau duduk berkumpulan.

Malah, ada kalanya mereka tanpa dipelawa akan terus duduk di kerusi berhampiran pelanggan yang sedang minum sambil mempamerkan susuk tubuh menggiurkan di balik pakaian nipis.

Kaedah layanan `teman tapi mesra’ itu ternyata memikat ramai pelanggan kafe berkenaan yang kebanyakannya tidak menolak sebaik bohsia terbabit terus menarik kerusi dan duduk di sebelah mereka.

Perbualan diselang seli dengan gurau senda berkenaan tambah panas apabila ada gadis dilihat memeluk bahu atau meletakkan kepala di atas pangkuan pelanggan.

Adegan tidak senonoh berkenaan menyebabkan ramai lelaki warga emas ‘goncang’ iman sebelum tangan mereka ditarik menuju ke bilik sewa di atas bangunan terbabit untuk bermadu kasih.

Seorang penghuni di bangunan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Leong, 33, berkata gadis terbabit yang kebanyakannya menyewa di situ dikesan muncul lebih setahun lalu.

Menurutnya, mereka kerap menggunakan daya tarikan seksual untuk menambat hati lelaki sebelum menawarkan diri menjadi perempuan simpanan atau teman ranjang.

“Mereka biasanya meminta sehingga RM100 setiap kali hubungan seks dilakukan. Tapi ada juga sekadar minta dibelanja sarapan pagi.

“Untuk mengenali golongan itu mudah iaitu mereka gemar membawa beg sandang,” katanya.

Berbeza dengan kupu-kupu malam, katanya, mereka mencari sasaran sekitar jam 7 pagi sehingga waktu paling ramai pelanggan antara jam 11 hingga 1 tengah hari.

“Sebagai penghuni, saya kerap kali terserempak gadis terbabit membawa pelanggan menaiki lif untuk ke rumah sewa mereka,” katanya yang pernah beberapa kali melihat golongan isteri bergaduh dengan suami yang gemar datang ke kafe terbabit.

Dia berkata, kewujudan gadis terbabit turut menjejaskan keharmonian rumah tangga penduduk tempatan berikutan tarikan mereka menyebabkan ramai lelaki menghabiskan masa di kafe terbabit daripada di rumah.

Seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh di bangunan itu mendakwa golongan bohsia tinggi lampai persis model biasanya meletakkan nilai perkhidmatan lebih mahal sehingga RM100, namun masih boleh tawar menawar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan yang dihubungi, berkata pelbagai operasi sudah dilakukan di kawasan terbabit untuk membanteras kegiatan tidak bermoral dijalankan gadis berkenaan.

Malangnya, walaupun sudah ratusan diberkas, mereka kembali menjalankan kegiatan sama.

“Siasatan mendapati kebanyakan gadis itu, terutama dari China memasuki negara menggunakan dokumen dan pasport sah. Mereka bagaimanapun menyalahgunakan visa lawatan sementara untuk melakukan aktiviti pelacuran.

“Tindakan dari semasa ke semasa akan terus dijalankan bagi memberkas gadis itu. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sumber : Hmetro

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com