Friday, March 27, 2009

Duit lakon pondan haram

Duit lakon pondan haram 
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohhdazam@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila ia haram, ia tetap tidak boleh dilakukan walaupun dengan alasan untuk kebaikan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, mengenai semakin ramai pengarah serta penerbit filem dan drama berlumba-lumba menghasilkan filem homoseksual berkisar kehidupan pondan dan lesbian.

Noh berkata, dalam Islam, hukum itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan serta sebaliknya perempuan tidak boleh menyerupai lelaki berikutan hukumnya haram serta dilaknat Allah.

Justeru katanya, setiap perbuatan, perlakuan yang menyerupai mana-mana sifat yang bertentangan dengan kejadian asal ciptaan Tuhan tidak boleh di pertonton serta ditunjukkan kepada umum.

“Jika mereka ingin menyampaikan mesej yang baik, banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum Allah.


“Dalam Islam sendiri sudah jelas jika perkara itu haram, maka ia tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan.

“Ini boleh kita umpamakan dengan watak Robin Hood yang mencuri untuk disedekahkan kepada orang susah sedangkan perbuatan itu memang salah dan berdosa. Jadi segala hasil yang diperoleh adalah haram,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus memainkan peranan mengenai perkara ini kerana jika dibiar berterusan, ia boleh menggalakkan orang ramai khususnya remaja berjiwa lembut terjerumus dalam kancah golongan pondan.

Katanya, pihak penerbit, pengarah, pelakon serta penapis filem perlu mempunyai pengetahuan agama berkaitan perkara membabitkan hukum Islam kerana jika ia tidak dibendung akan menyebabkan permasalahan sosial semakin berleluasa.

“Orang ramai terutama yang beragama Islam harus tahu serta mempunyai pegangan agama mengenai perkara ini kerana jika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan, pendapatan yang diperoleh itu adalah haram.

“Semua pihak termasuk ibu bapa harus mencegah perkara ini kerana jika ia tidak dibendung, ia mungkin menggalakkan ramai lagi remaja terjerumus ke kancah itu,” katanya.

Harian Metro, Isnin lalu melaporkan mengenai drama ‘Donut’ karya terbaru produksi milik pelakon, pengarah serta penerbit, Sheila Rusly yang menampilkan kisah homoseksual dengan pelakon utamanya memegang watak pondan lengkap berpakaian wanita.

Drama yang bakal di tayang menerusi slot Astro Ria, menampilkan pelakon Norman Hakim, sebagai Zee menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi watak utama, Shakir lakonan Fizz Fairuz.

Selain itu, drama Mabuk Estrogen yang turut menampilkan Fizz Fairuz dan Roslan Shah juga bakal menimbulkan kontroversi kerana didakwa menampilkan adegan ‘bercium’ antara dua pelakon lelaki utamanya itu.

Pilih syaitan

 Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my

Pilih syaitan

KUALA LUMPUR: Awas! Remaja yang gemar bermain permainan komputer perlu berhati-hati apabila memilih permainan, terutama berasaskan muzik rock dan punk berikutan sesetengahnya boleh menjejaskan akidah.

Dalam permainan komputer terbaru di pasaran, ia memaparkan grafik seakan-akan kalimah Allah ketika ‘syaitan’ bermain gitar.

Permainan komputer yang mensasarkan golongan remaja, terutama mereka yang cetek pengetahuan agama mampu terpesong akidah, sekali gus hanyut dibuai keghairahan mengejar gelaran juara ‘Rocker Terunggul’.

Berdasarkan pendedahan ‘kaki’ permainan komputer, Ridzuan, 20, kepada wartawan Harian Metro, ada pemain menyedari ia menghina Islam, tetapi meneruskan permainan itu hingga berjam-jam lamanya.





Mereka semata-mata ingin bergelar juara untuk menjadi gitaris terkemuka barat yang digunakan pihak pengeluar dalam mempromosikan permainan berkenaan.

Ridzuan yang menyukai muzik rock dan punk sejak berusia belasan tahun, menyatakan permainan terbaru itu sedang hangat di kalangan remaja yang gilakan muzik rock dan punk.

“Permainan ini pelik kerana mampu menyebabkan saya hilang kawalan kerana terlalu asyik selain merasakan diri seolah-olah berada dalam dunia lain.

“Malah, saya sanggup menghabiskan masa sehari suntuk semata-mata untuk menjadi juara. Permainan ini lebih menarik serta mencabar jika bermain dengan rakan dengan masing-masing akan bersaing bagi membuktikan kejuaraan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, setiap pemain hanya perlu memilih satu karakter syaitan sebelum mengikut nota lagu yang ditetapkan.

Pemain yang mengikut nota lagu dengan baik berdasarkan peringkat tertentu akan digelar juara serta dianugerahkan wang bagi membolehkan mereka membeli gitar terbaru yang ditawarkan.

Kemuncaknya, juara akan bertanding dengan seorang idola rock Barat. Sekiranya berjaya menewaskannya, mereka akan digelar ‘Rocker Terunggul’.

Ridzuan mengakui memang ada grafik seakan-akan kalimah Allah, tetapi dia masih meneruskan permainan itu.

Wartawan Harian Metro yang turut mencuba permainan berkenaan mendapati satu daripada karakter memaparkan syaitan bermain gitar dengan tertera grafik seakan-akan kalimah Allah.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Syariah Malaysia, Zainal Rijal, ketika dihubungi, berkata pengeluar sepatutnya peka terhadap sensitiviti agama sebelum mengeluarkan barangan mereka kerana boleh mengundang kemarahan.

“Ini bukan kejadian pertama dan kita perlu menyiasat siapakah dalang di sebaliknya sebelum tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang mengeluar atau mengedarkan permainan komputer ini.

“Tanpa disedari atau tidak tujuan pihak tertentu sebenarnya untuk menyesatkan golongan remaja Islam dan menghina Islam,” katanya.

Beliau berkata, cubaan dilakukan secara halus bagi mengikis jati diri remaja Islam dengan memastikan golongan terbabit lupa diri dan sanggup mengetepikan pegangan agama.

Justeru, menurutnya, ibu bapa perlu mengawal anak mereka daripada bermain permainan seperti itu dan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.

“Bagi saya permainan ini perlu diharamkan kerana mampu memesongkan akidah,” katanya.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com