Friday, February 20, 2009

Jodoh Roslin 12 hari

Jodoh Roslin 12 hari

Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Inai masih merah di tiga jari kiri, namun takdir menentukan jodoh jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, dengan Faizah Mohamad, 32, tidak panjang.

Pasangan pengantin baru itu yang bernikah pada 30 Januari lalu cuma sempat melayari bahtera rumah tangga selama 12 hari apabila mereka bercerai pada 11 Februari lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah yang dirasai Roslin kerana perceraian itu terjadi ketika dia sedang bersiap-siap menghadapi kejohanan badminton Terbuka India pada bulan depan, apatah lagi kedua-duanya belum sempat menikmati detik manis berbulan madu.

Ketika ditemui, Roslin berkata dia melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, sekitar jam 10.50 malam di hadapan mereka.


“Tiada sesiapa memaksa saya melafazkan cerai. Cuma sebelum lafaz itu keluar dari mulut saya, ayah mentua minta saya fikir dulu kerana mereka tidak nampak kami bersengketa, tapi saya yang hidup bersama anaknya lebih memahami mengapa saya membuat keputusan itu.
“Saya hanya melafazkan talak satu kepada dia. Sejak berpisah saya tidak berjumpa lagi dengan dia. Saya pun sudah kembali hidup di rumah bujang saya sebelum ini di Wangsa Maju,” katanya.

Agak berat untuk Roslin menceritakan mengapa perceraian itu terjadi kerana ia terlalu peribadi. Cuma apa yang boleh dikata selepas tiga hari menjadi suami, dia mulai berasa tiada keserasian.

“Selepas tiga hari, saya mula terfikir ke arah mana rumah tangga saya ini. Sebabnya, saya terasa seperti tidak dilayan seperti suami, tiada hormat pada saya tetapi saya masih beri dia peluang.

“Selepas seminggu melihat keadaan tidak berubah, saya sedar rumah tangga saya tidak boleh diselamatkan lagi,” kata Roslin yang merancang berbulan madu bersama isteri di Perth, Australia.

Roslin dan Faizah mengikat tali pertunangan pada 1 November lalu dan jika mengikut perancangan, pasangan itu sepatutnya berkahwin pada 25 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda kepada 1 Februari kerana Roslin perlu bersiap menghadapi Terbuka Malaysia dan Korea 2009.

Majlis persandingan di rumah pihak perempuan diadakan pada 1 Februari lalu, manakala bertandang di rumah keluarga lelaki di Kampung Sirih, Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Februari iaitu tiga hari sebelum Roslin dan Faizah berpisah. Hantaran untuk Faizah RM15,000.

Sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai suami, kata Roslin, dia sudah pun membeli sebuah rumah di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, dan projek itu dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

“Saya membeli rumah itu pun kerana mahu berdekatan dengan kediaman mentua. Lagipun ia tidak jauh dengan tempat latihan badminton saya di Bukit Jalil. Memanglah tidak sabar untuk saya menghuni rumah itu bersama seorang isteri, tetapi lain pula yang terjadi,” katanya.

Bagi Roslin, kenyataan dibuat tidak bermaksud untuk memalukan sesiapa, apatah lagi keluarga bekas isterinya itu, namun sebaliknya dia rasa begitu tertekan dengan dilema dihadapi kerana masih ramai terutama peminat badminton serta rakan taulan mengucapkan selamat pengantin baru padanya.

“Kebelakangan ini ke mana-mana saya pergi, ramai yang ucap selamat pengantin baru pada saya. Saya hanya mampu tersenyum dan membalas terima kasih di atas ucapan itu. Hakikat di sebaliknya, ramai yang tidak tahu saya sudah bercerai dan hanya menjadi suami tidak sampai pun dua minggu.

“Saya harap dengan kenyataan ini, masyarakat memahami situasi yang saya hadapi. Tiada orang berkahwin untuk bercerai, tetapi sebagai insan kita tidak dapat menolak qada dan qadar Allah.

“Ujian ini sudah tertulis untuk saya menghadapinya, bagaimana untuk saya mengelak,” katanya.

Roslin yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, menjadikan keluarga Jailani Sidek sebagai keluarga angkatnya. Selepas melafazkan cerai, dia terus menghubungi Jalani memberitahu apa yang terjadi.

“Saya buntu sangat selepas apa yang terjadi pada diri saya. Syukurlah Jalani dan abangnya, Datuk Misbun Sidek menghormati keputusan saya dan minta saya bertenang,” katanya.

Sementara itu isteri Jalani, Raja Azmi Raja Sulaiman turut bersedih terhadap apa yang terjadi kepada Roslin. Tekanannya juga dirasai kerana selain menjadi perancang perkahwinan, dialah yang menjadi orang tengah menemukan Roslin dengan Faizah hingga kedua-duanya bersedia untuk berkahwin.

“Dua tiga hari ini fikiran saya turut terganggu kerana ada pihak menuduh saya tersalah mencari jodoh buat Roslin. Soal jodoh, kita cuma mengaturkan kerana mana kita tahu kaca dan permata.

“Sudah tersurat jodoh Roslin pendek, kita terima saja apa yang ditentukan Ilahi,” katanya.

Di sebaliknya, Roslin belum pasti bilakah dia dan pasangannya akan ke mahkamah kerana esok baru dia akan berjumpa peguam bagi memaklumkan perceraian itu.

Tuesday, February 17, 2009

Jual ‘senjata’ semurah RM3

Jual ‘senjata’ semurah RM3

RAMPAS...Arjunaidi menunjukkan senjata api palsu dirampas <br>pihaknya.
RAMPAS...Arjunaidi menunjukkan senjata api palsu dirampas
pihaknya.

PETALING JAYA: Penjenayah kini mampu memperoleh keuntungan berlipat kali ganda hasil kegiatan samun dengan hanya menggunakan senjata api palsu yang dijual secara terbuka dengan harga semurah RM3 di kedai runcit.

Difahamkan, senjata palsu yang menyerupai senjata api sebenar itu mudah didapati dan boleh dibeli penjenayah dengan harga antara RM3 hingga RM50 untuk menggertak mangsa ketika melakukan samun.

Kegiatan menjual barangan itu terbongkar apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu sebuah rumah kedai di Kelana Jaya di sini dan merampas ratusan senjata api palsu pelbagai jenis, kelmarin.

Polis turut menahan pemilik premis itu berusia 41 tahun dan siasatan mendapati suspek mula menjual senjata berkenaan sejak dua bulan lalu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata serbuan dijalankan jam 4 petang hasil maklumat awam dan risikan.

“Hasil pemeriksaan polis di premis terbabit menemui dua pucuk pistol jenama Air Soft Gun, 57 pucuk B B Gun dan 60 pucuk P P Gun.

“Siasatan awal mendapati senjata palsu itu rata-ratanya dijual dengan harga RM3 hingga RM50 terutama senapang patah yang kerap digunakan penjenayah untuk menyamun kedai serbaneka 24 jam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Arjunaidi, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, pihaknya bimbang penjenayah akan mengambil kesempatan membeli senjata tiruan itu untuk melakukan jenayah.

“Berikutan itu, polis kini akan menjalankan siasatan terperinci terutama mengenal pasti pembekal utama senjata tiruan berkenaan yang begitu mudah diperoleh.

“Selain itu, polis akan mempergiatkan operasi dan pemeriksaan terhadap premis lain yang turut menjual senjata api seumpama itu,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 (1) (b) Akta Senjata Api 1960.

Monday, February 16, 2009

Maut makan kari telur buntal

KUALA TERENGGANU: Gara-gara menikmati hidangan kari telur ikan buntal ketika makan tengah hari di laut, seorang tekong bot maut manakala empat awak-awak keracunan.

Mangsa, Nordin Sulong, 43, dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, meninggal dunia kira-kira jam 11.15 malam kelmarin ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Dungun, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Kumpulan nelayan terbabit dilaporkan tiba di jeti berkenaan pagi semalam dan melaporkan kejadian itu di Balai Polis Dungun sebelum masing-masing mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata sebelum kejadian mangsa bersama empat awak-awak termasuk anak lelakinya, Ahmad Hafiz, 19, keluar menangkap ikan di perairan Dungun, kelmarin.


Beliau berkata, apabila tiba di laut, kumpulan nelayan terbabit menjamu hidangan tengah hari dan menjadikan kari telur ikan buntal sebagai lauk.

“Ketika memasukkan beberapa biji telur ikan berkenaan ke dalam periuk, Khalid Jusoh yang menyediakan hidangan berkenaan tidak menyedari perut ikan yang mengandungi racun termasuk dalam periuk berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dahlan berkata berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Selain Khalid dan Ahmad Hafiz, dua lagi yang mengalami keracunan ialah Mohd Azroy Mohd Ghani, 21, dan Zainuddin Jaafar, 43, yang dilaporkan stabil selepas dirawat di hospital berkenaan.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan, petang semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090216092600/Article/index_html

Sunday, February 15, 2009

Remaja hidu gam

Oleh SALMAN HAMAT dan AHMAD TAJOL ANSAR IBRAHIM
am@hmetro.com.my

CEGAH MAKSIAT.. antara remaja yang ditahan dalam operasi<br> Hari Kekasih 2009 di Ampang, semalam.
CEGAH MAKSIAT.. antara remaja yang ditahan dalam operasi
Hari Kekasih 2009 di Ampang, semalam.

HULU LANGAT: Jika pasangan lain memilih bunga ros dan coklat untuk meraikan sambutan Hari Kekasih, sepasang remaja yang kemaruk bercinta dikatakan menghidu gam bagi membangkitkan rasa ghairah sebelum berasmara pada hari istimewa itu.

Lebih mengejutkan apabila dua remaja terbabit sanggup bermalam dalam khemah di pinggir hutan pusat rekreasi Sungai Congkak, di sini, bagi meraikan sambutan itu.

Bagi meraikannya, mereka yang berasal dari kampung berhampiran sanggup datang seawal jam 4 petang ke pusat rekreasi berkenaan dengan menaiki bas dan merancang pulang keesokan harinya.

Remaja itu yang dikenali sebagai Lia turut mengaku, sejak bertunang tiga bulan lalu dia dan tunangnya beberapa kali melakukan hubungan seks.

“Bagi saya ia tidak menjadi kesalahan, tambahan sempena Hari Kekasih untuk menunjukkan rasa sayang serta cinta pada bakal suami saya.

“Saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan dan percaya dia (bakal tunang) akan bertanggungjawab jika berlaku perkara buruk,” katanya.


Sementara itu, tiga lagi rakan remaja terbabit turut ditahan untuk tindakan lanjut kerana didapati dalam keadaan khayal selepas menghidu gam, manakala tiga tin gam dipercayai digunakan kumpulan remaja terbabit untuk dihidu serta peralatan lain, termasuk plastik, dirampas.

Operasi Hari Kekasih 2009 yang dijalankan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) mensasarkan beberapa lokasi sekitar Ampang, Hulu Langat, Klang dan Shah Alam serta menahan kira-kira 100 pasangan kekasih yang berkelakuan tidak senonoh.

Ketua Keselamatan Operasi Hari Kekasih 2009, Wan Zahari Wan Daud, berkata kebanyakan remaja ditahan berikutan berkelakuan tidak senonoh dan mendatangkan syak di kawasan sunyi serta gelap.

“Ketika ditahan, ada di kalangan remaja ini asyik berasmara, tidak kurang juga berpelukan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.

“Kaunseling diberi kepada pasangan yang diperiksa berdasarkan modul khas program kami bagi membentuk kembali keinsafan dan rasa takut kepada azab Tuhan,” katanya.

Wan Zahari berkata, kurangnya acuan agama dalam diri remaja mendorong mereka melakukan perkara yang dilarang dan bimbang dianggap kolot oleh rakan sebaya antara faktor sambutan Hari Kekasih perlu mereka raikan.

“Remaja sepatutnya sedar tindakan mereka meraikan Hari Kekasih tidak sepatutnya berlaku dan pengaruh bahan lucah, termasuk ubat kuat haram yang berlambak di pasaran, antara faktor pasangan remaja kemaruk ingin melakukan hubungan seks tanpa memikirkan risiko,” katanya.

Source : Hmetro.com.my

Mengaku bukan Islam ketika daftar hotel

MUAR: Semata-mata ingin memuaskan gelora nafsu sempena Hari Kekasih semalam, enam pasangan kekasih di sini sanggup mengaku bukan Islam semata-mata untuk mendaftar menginap di hotel murah dan rumah tumpangan bagi meneruskan niat bermadu kasih, sekali gus mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tidak cukup dengan itu, ada pula kakitangan hotel murah bersekongkol dengan pasangan kekasih muda terbabit apabila menyembunyikan identiti tetamu mereka dengan alasan mereka tidak mendaftarkan nama.

Bagaimanapun, tipu muslihat itu tidak mampu mengaburi mata pihak berkuasa yang kemudian berjaya menghidu taktik lapuk pasangan terbabit sebelum masing-masing ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Operasi bermula jam 10.30 malam itu diketuai Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) Daerah Muar, Nordin Mohamad dan disertai 20 kakitangan Jabatan Agama Johor (JAJ) serta Majlis Perbandaran Muar.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Noh Kadri, berkata pada awalnya pasukan berkenaan menghadapi masalah mengenal pasti pasangan kekasih terbabit kerana kebanyakannya mendaftar masuk menggunakan nama bukan Islam.
Katanya, melihat reaksi segelintir kakitangan hotel yang mula cuba bersekongkol dengan menyembunyikan identiti pasangan, pihak berkuasa terpaksa mengetuk bilik hotel satu per satu.

“Tindakan itu membuahkan hasil apabila enam pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 30-an, termasuk pekerja kilang dan pemandu, dicekup dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Difahamkan, hotel murah yang diserbu dalam operasi lima jam itu dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan pasangan kekasih melakukan perbuatan maksiat.

Sementara itu, di kawasan Rekreasi Tanjung Emas, di sini, beberapa pasangan kekasih yang asyik bermadu asmara turut ditahan sebelum diberi kaunseling.

Mereka yang kebanyakannya remaja belasan tahun dikatakan mengambil kesempatan sempena Hari Kekasih untuk bertemu dan bermadu kasih dengan pasangan.

Noh berkata, pihaknya akan meneruskan operasi besar-besaran bagi membersihkan perbuatan maksiat di hotel murah dan rumah tumpangan seluruh negeri ini.

Source : Hmetro.com.my

Saturday, February 14, 2009

Sampai hati isteri

Sampai hati isteri

KUALA LUMPUR: Marah kerana suami ‘buas’ dan suka bermain kayu tiga, segelintir isteri dikesan sanggup menggunakan najis sendiri untuk dijadikan ramuan ilmu hitam menundukkan mereka.

Isteri terbabit tergamak menuruti arahan bomoh supaya najis itu dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam makanan suami.

Dengan bacaan jampi serapah tertentu, bomoh terbabit mendakwa najis yang dikeringkan selama beberapa hari itu dikatakan berupaya ‘mengikat’ suami.

Wartawan Harian Metro yang menjalankan siasatan mengenai ilmu hitam itu berkesempatan bertemu seorang wanita yang terjebak dengan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam itu, baru-baru ini.


Wanita terbabit mengaku pernah berbuat demikian terhadap suaminya, bagaimanapun enggan gambarnya dirakamkan bimbang perbuatan lampaunya diketahui keluarga dan suaminya.

Mulanya, dia enggan menceritakan pengalaman buruk itu tetapi selepas dipujuk berulang kali, akhirnya wanita itu bersetuju berkongsi kisah duka dalam hidupnya.

Dia yang hanya mahu memperkenalkan diri sebagai Ima, 32, mendakwa masalah rumah tangga dialaminya itu bermula selepas tujuh tahun berkahwin.

Ima yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Cheras memperoleh dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya, seorang kerani.

“Pada awal perkahwinan, semuanya berjalan baik walaupun kami kerap menghadapi masalah kewangan terutama membayar khidmat pengasuh dan membeli kelengkapan harian anak berusia dua dan empat tahun.

“Melalui rakan sepejabatnya, saya mendapat tahu dia mula nakal dan menjalin hubungan cinta dengan seorang pegawai wanita yang juga sudah berumah tangga,” katanya.

Setiap kali ditanya berhubung perkara itu, suaminya akan naik angin dan keluar dari rumah serta tidak pulang hingga berhari-hari.

Lebih mengecewakan apabila Ima mendapat tahu suaminya turut bermain cinta dengan beberapa gadis lain di pusat permainan snuker hingga sanggup menghabiskan duit gaji setiap bulan.

Menurut Ima, seorang rakan mencadangkan dia berubat dengan beberapa bomoh.

Antara bomoh yang pernah ditemuinya seorang wanita tua di pinggir ibu kota.

Melalui wanita yang dikenali sebagai Ibu Siti, dia diyakinkan amalan yang diberikan mampu mengikat semula hati suami supaya kembali semula ke rumah dan menyayangi keluarga.

“Pada malam Jumaat, saya mengambil keputusan menemui Ibu Siti selepas diberikan alamatnya oleh rakan.

“Saya disuruh bomoh itu membuang air besar di tandasnya. Dia menyuruh saya mengambil sedikit najis dan berikan kepadanya,” katanya.

Dia gusar suruhan pelik itu, tapi tetap mengikutinya berikutan terdesak untuk memenangi hati suami.

Dengan najis itu diletakkan di atas sudu, kata Ima, bomoh berkenaan terkumat-kamit membaca sesuatu.

Bomoh itu mengajar cara penggunaan najis terbabit walaupun mulanya dia tidak sampai hati melakukannya.

“Bomoh itu menyuruh saya masukkan sedikit najis itu ke dalam makanan suami sebaik ia kering selepas dijemur dan suami pasti berubah dan sentiasa merindui saya,” katanya.

Selepas mengamalkan petua jijik berkenaan, dia berkata, suaminya yang sebelum itu sering keluar rumah, mula berubah dan kerap bersama dia dan anak.

“Perubahan itu benar-benar menggembirakan. Namun, beberapa bulan selepas mengamalkannya, saya menyedari perubahan aneh apabila suami menjadi murung, pendiam dan kurus.

“Dia seolah-olah hilang semangat dan kerap jatuh sakit. Perubahan fizikal dan mentalnya itu menyebabkan saya sedar ia berpunca daripada tindakan saya,” katanya.

Justeru, Ima dihantui rasa bersalah kerana suaminya masih di bawah pengaruh ilmu hitam itu.

Walaupun tidak lagi liar katanya, ubat guna-guna itu menyebabkan suaminya bagai orang bodoh dan kerap lupa banyak perkara.

Menurutnya, dia mencari pengamal perubatan Islam bagi memulihkan suaminya.

“Saya tidak mahu mati sebagai isteri derhaka dan tidak diterima tanah.

“Mungkin ketika itu saya terlalu jahil agama sehingga melakukan perkara bercanggah dengan Islam,” katanya.

Thursday, February 12, 2009

Sentuhan gay durjana

Sentuhan gay durjana

AYER HITAM: Awas lelaki kacak berharta dan kedudukan tinggi kerana anda mungkin diperhatikan lelaki gila seks songsang yang menggunakan ilmu pukau untuk menjalinkan hubungan cinta sejenis dan mengikis harta anda.

Lelaki berusia 30-an itu dikatakan memiliki kebolehan luar biasa dengan hanya menyentuh bahu mangsa ketika berselisih di tempat awam untuk menjadikan mereka tempat melampiaskan nafsu songsangnya.

Sihirnya dapat mematikan nafsu mangsa terhadap wanita, termasuk isteri supaya dapat dijadikan kekasih sejenis.

Selepas beberapa bulan menjalin hubungan intim, kesempatan itu digunakannya untuk mengikis harta mangsa, termasuk tanah bagi membuktikan keutuhan percintaan mereka selain wang perbelanjaan setiap bulan.


Terbaru, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 40-an menjadi mangsa lelaki bernafsu syaitan terbabit.

Menurutnya, sebaik bersentuhan bahu di sebuah pasar raya dalam kejadian setahun lalu, dia terpukau dan mula terpikat kepada lelaki itu biarpun menyedari kaum sejenis.

“Ketika itu, perasaan ingin mengenalinya amat tinggi. Sebaik disapa, saya terus menjadi selesa dengannya biarpun baru mengenalinya.

“Setahu saya sebelum ini saya seorang yang agak pendiam dan jarang bertegur sapa dengan sesiapa, terutama individu tidak dikenali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Selepas beberapa bulan mengenali lelaki terbabit, Murad dipelawa ke rumahnya untuk berbual kosong.

Dia hanya menuruti permintaan itu tanpa berfikir panjang dan akhirnya terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, kata mangsa, dia langsung tidak mempedulikan perbuatannya menyalahi ajaran agama.

“Sejak hari itu, saya mula diperlakukan seperti kekasihnya dan terpaksa melayani nafsu buasnya.

“Peliknya, nafsu saya terhadap isteri dan perasaan sayang kepada keluarga, termasuk ketiga-tiga anak saya sudah hilang. Apa yang ada dalam fikiran saya hanyalah lelaki itu,” katanya yang mendedahkan perkara itu bagi mengelakkan kejadian sama menimpa orang lain.

Murad berkata, akibat terlalu mencintai lelaki itu, dia sanggup memberikan beberapa hektar tanah sebagai hadiah selain wang saku RM2,000 sebulan.

Lebih dikesalinya, dia pernah menghalau isteri dan anak keluar rumah semata-mata untuk melayan nafsu lelaki berkenaan.

“Mana tidaknya, setiap kali melihat dia, gelora nafsu saya tidak mampu bertahan dan keinginan melakukan hubungan songsang dengannya makin menjadi-jadi.

“Namun, dengan bantuan ahli keluarga akhirnya saya pergi mendapatkan rawatan tradisional dan bersyukur kerana sudah sembuh daripada ‘penyakit’ itu,” katanya.

Kini dia sedang berusaha menyelamatkan rumah tangganya daripada kehancuran dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila terserempak dengan orang yang tidak dikenali.

Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, berkata mangsa sebenarnya disihir lelaki terbabit.

“Dia turut diberi makan benda kotor yang dijampi bagi mematikan nafsunya terhadap isteri. Ini bukan kejadian pertama, saya sudah mengubati lebih 10 pesakit seumpama itu dan bersyukur kerana berjaya membantu mereka,” katanya.

Menurut Fadzil, perbuatan sihir itu mampu dihindari jika orang ramai tidak meninggalkan Rukun Islam selain mempunyai pendinding ketika meninggalkan rumah.

“Antara amalan yang boleh dijadikan sebagai pendinding adalah berwuduk selain mengamalkan ayat Kursi,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, perbuatan segelintir individu mengamalkan sihir bagi mendapatkan habuan haram di sisi agama.

“Tidak kiralah apapun tujuan penggunaannya ia tetap sesat. Mana tidaknya, sihir itu sendiri digunakan untuk tujuan salah semata-mata memerangkap mangsa bagi mendapatkan keuntungan sendiri.

“Orang ramai perlu meningkatkan keimanan selain tidak meninggalkan rukun Islam bagi mengelakkan diri daripada terkena sihir itu,” katanya.

Friday, February 6, 2009

Model terkenal Brazil mati dimakan virus

Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KEMATIAN model terkenal Brazil yang sedang meningkat naik, Mariana Bridi, 20, akibat jangkitan virus pada 24 Januari lalu mengejutkan ramai pihak.

Mariana menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 pagi Sabtu akibat komplikasi berkaitan jangkitan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Bakteria berbahaya itu dikatakan bertindak balas terhadap semua jenis antibiotik dan mula menyerang organ dalaman serta mematikan tisu badannya.

Teman lelakinya, Thiago Simoes tidak menyangka Mariana akan menerima nasib malang berkenaan kerana sebelum ini dia tidak menunjukkan sebarang tanda masalah kesihatan.


Kata Simoes, dia tidak mengetahui bila dan di mana Mariana terkena jangkitan virus berkenaan kerana teman wanitanya itu memang menggemari aktiviti luar.

"Mariana mula jatuh sakit pada 30 Disember lalu dan kami segera membawanya ke hospital. Doktor memberitahu buah pinggangnya mempunyai masalah dan memberi ubat berkaitan.

"Kami membawanya pulang tanpa mengetahui doktor itu sebenarnya tersilap memberi ubat. Tetapi dua hari kemudian, keadaan Mariana semakin tenat dan virus dalam tubuhnya merebak dengan pantas menyebabkan Mariana segera dipindahkan ke sebuah hospital di Serra di tenggara Espirito Santo," katanya.

Ketika di hospital berkenaan, kata Simoes, baru dia mengetahui punca sebenar penyakit Mariana iaitu jangkitan virus yang sudah menyerang hampir ke setiap anggota badannya.

"Jangkitan virus itu mengakibatkan aliran darah serta oksigen ke kaki, tangan serta organ penting terputus dan menggagalkan fungsi utamanya.

"Ia menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk memotong kaki, tangan serta membuang hampir separuh bahagian organ dalam perut bagi menyelamatkan nyawanya.

"Namun, ternyata Mariana gagal disembuhkan kerana virus berkenaan tidak menerima sebarang ubat antibiotik dan bertindak balas ke atasnya," katanya sebak.

Bagi Simoes, Mariana adalah seorang gadis yang kuat dan tidak mudah patah semangat.

Katanya, teman wanitanya itu bukan berasal daripada keluarga senang dan dia bekerja keras untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang peragawati terkemuka.

Mariana sebelum ini pernah sedar daripada koma dan memberitahunya dia tidak ingin mati awal kerana masih banyak lagi yang belum diselesaikan.

Kata Simoes, Mariana tidak henti berdoa semoga Tuhan memanjangkan nyawanya.

"Mariana mempunyai banyak perancangan dan dia begitu bersemangat untuk menyelesaikannya. Bagi yang mengenali Mariana, mereka akan tahu betapa dia memang tidak mudah mengaku kalah dan komited pada apa yang dilakukan.

"Dia mempunyai seraut wajah cukup jelita yang membuatkannya menjadi pilihan pelbagai jenama di Brazil untuk dijadikan sebagai model.

"Saya tidak menjangkakan kehilangan Mariana secepat ini, tetapi apakan daya Tuhan ternyata lebih menyayanginya," katanya yang menafikan teman wanitanya itu mempunyai masalah pemakanan.

Dalam pada itu, model yang pernah memenangi anugerah badan tercantik pada satu pertandingan baru-baru ini pernah muncul sebagai finalis Brazil untuk Pertandingan Ratu Cantik Dunia pada 2006 dan 2007.

Menurut laporan media antarabangsa, Mariana mula menceburi dunia peragaan ketika berumur 14 tahun dan sering menyertai pertandingan ratu cantik serta pertunjukan fesyen di Brazil.

Dua tahun lalu, Mariana pernah menyertai pertandingan Wajah Tercantik Sedunia yang diadakan di Afrika Selatan dan memenangi tempat keempat keseluruhan.

Sementara itu, Perunding Neurologi, Hospital Neurologi dan Neurosurgeri, United Kingdom, Dr Charles Clarke, berkata jangkitan virus yang menimpa Mariana sangat jarang berlaku.

"Jangkitan bakteria Pseudomonas aeruginosa yang dipercayai berpunca daripada sengatan kumbang pembunuh memang jarang sekali dilaporkan berlaku.

"Kejadian yang menimpa Mariana memang tidak dijangka dan mengejutkan ahli perubatan di seluruh dunia," katanya.

Dr Greg Martin daripada Universiti Emory, Atlanta, Amerika Syarikat berkata, pihaknya tahu kesan buruk yang bakal terjadi apabila seseorang dijangkiti virus berkenaan, tetapi mereka tidak tahu apa yang menjadi puncanya.

"Jangkitan virus itu adalah satu ancaman kesihatan utama di negara ini yang membunuh sekurang-kurangnya 800,000 orang setiap tahun.

"Sistem pertahanan badan akan terjejas dan ia akan mengakibatkannya bertindak di luar kawalan," katanya.

Aksi orang minyak

Aksi orang minyak

KUALA LUMPUR: Kemunculan lembaga hitam seperti ‘orang minyak’ yang sering menanggalkan seluar dan beraksi kelucahan melampau apabila ternampak wanita di sekitar Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini, sejak tiga bulan lalu, ditahan pagi semalam.


Suspek yang bertubuh besar dikatakan kerap muncul pada Subuh dan awal pagi di belakang rumah penduduk sebelum sengaja berdiri tegak sambil berbogel di kawasan terbuka.

Dia yang berusia 40-an itu diawasi sejak tiga bulan lalu dikatakan mempunyai ‘ilmu’ untuk menghilangkan diri sebaik dikepung.

Namun, selepas bermaharajalela selama tiga bulan, suspek yang menaiki Perodua Kancil diberkas enam penduduk lelaki jam 9 pagi semalam.

Mereka menunggu waktu paling sesuai menangkapnya.

Penduduk, Majudin Pandak, 44, berkata, lelaki berkenaan kerap mengganggu tunangnya, Yati, yang tinggal di kawasan berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

Terbaru, menurutnya, dalam kejadian jam 7 pagi semalam, Yati sedang berada di dapur sebelum suspek muncul lalu melakukan aksi kurang sopan dengan membuka seluar.

“Lelaki itu dengan wajah ghairah sengaja memegang alat sulit sebelum menunjukkannya ke arah tunang saya yang tergamam ketakutan. Dia segera menghubungi saya memaklumkan kejadian terbabit,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Koor Kar Chun, 24, berkata, isterinya, Goh Lai Mei, 23, menjerit-jerit sebelum memanggilnya apabila melihat seorang lelaki tidak dikenali berada di luar dapur rumah mereka, semalam.

“Lelaki itu sengaja mempamerkan kelucahan melampau kepada isteri saya berulang kali.

“Kejadian itu bukanlah pertama kali kerana isteri saya pernah beberapa kali diganggu dengan aksi serupa oleh lelaki terbabit sejak lebih sebulan lalu,” katanya.

Menurutnya, dia melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan di kawasan berkenaan untuk menangkap suspek.

“Kami menghubungi polis sebelum dia dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan,” katanya yang turut hadir ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan.

Perbuatan lelaki terbabit turut disaksikan penduduk, Manjit Singh Chopra Ajaib Singh, 33, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Dia yang tinggal di Lorong Tiong Nam 3, mendakwa ternampak seorang lelaki bertubuh besar berdiri menghadap rumahnya.

Katanya, suspek yang dalam keadaan mencurigakan memandang ke arah seorang penghuni wanita di kawasan berhampiran sebelum menanggalkan seluar.

“Saya benar-benar terkejut dengan perbuatan lelaki berkenaan yang sekian lama menakutkan wanita di kawasan perumahan ini dengan perilaku tidak senonoh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah mengesahkan penahanan lelaki itu.

Difahamkan suspek yang turut diberkas seorang pemandu teksi, Murugarajah Gopal, 40, mendakwa kononnya dia anggota polis berpangkat lans koperal kepada penduduk yang menahannya dalam usaha melepaskan diri.

Wednesday, February 4, 2009

Gadis sunyi ‘goda’ bomba 5,000 kali

KOMITED...Ghaffar (kiri) bersama Razif menjalankan tugas <br>di bilik kawalan di Balai Polis dan Penyelamat Larkin, <br>semalam.
KOMITED...Ghaffar (kiri) bersama Razif menjalankan tugas
di bilik kawalan di Balai Polis dan Penyelamat Larkin,
semalam.

JOHOR BAHRU: Semata-mata mahu mengubati kesunyian, seorang gadis belasan tahun yang tidak mempunyai teman lelaki sanggup membazir wang dengan membuat kira-kira 5,000 panggilan ‘nakal’ ke nombor bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Larkin di sini, hampir setiap hari.

Lebih menjengkelkan, gadis berusia 17 tahun yang membuat panggilan menggunakan telefon bimbitnya itu turut mempelawa pagawai bertugas di bilik kawalan untuk bersembang sambil menceritakan kehidupan sosialnya, masalah peribadi atau menawarkan diri untuk berkenalan.

Perbuatan mengacau gadis itu sering membuatkan pegawai bertugas tertekan kerana terpaksa melayan karenahnya yang membuat panggilan antara tengah malam hingga awal pagi itu.

Perlakuan gadis misteri itu didedahkan seorang pegawai bomba, Abdul Ghaffar Mohd Amin, 53, yang mengumpamakan perbuatan gadis itu sebagai mimpi ngeri yang terpaksa dihadapi beliau dan rakan setugas lain ketika bertugas.


Menurut Abdul Ghaffar, remaja perempuan itu membuat panggilan palsu menerusi talian telefon bimbit tanpa pengetahuan ahli keluarga selama beberapa bulan tahun lalu dan gemar mempermain-mainkan pegawai bertugas dengan melaporkan kejadian tidak benar.

Malah, katanya, gadis berkenaan sanggup menukar nombor telefon bimbit apabila pihaknya dapat mengesan dan mengenal pasti identiti sebenarnya menerusi Sistem Panggilan Berpusat (CCS).

“Kami mengenal pasti nombor telefon remaja perempuan itu menerusi CCS dan menghubunginya bagi memberikan nasihat dan peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan melalui cara itu juga kami cuba mengabaikan panggilan dilakukannya.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian selepas menyedari identitinya terbongkar, gadis itu menukar nombor telefon bimbitnya dan kembali membuat panggilan palsu seperti sebelumnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ghaffar yang berkhidmat selama 31 tahun itu berkata, gangguan daripada gadis dari Muar itu disifatkan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas di bilik kawalan selama kira-kira 10 tahun.

“Kami cuba menasihatinya supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana ia merugikan diri sendiri dan boleh menganggu gugat keutamaan tugas pasukan bomba dan penyelamat.

“Malah kami turut menghubungi ibu bapa gadis berkenaan dan ternyata mereka sendiri terkejut apabila dimaklumkan perbuatan anaknya itu membuat panggilan gangguan, “ katanya.

Difahamkan, sepanjang tahun lalu Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menerima 24,000 panggilan gangguan termasuk kira-kira 12,000 panggilan palsu.

Panggilan kebakaran diterima adalah kurang daripada 20 kes pada setiap hari berbanding 100 panggilan salah nombor.

Mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, individu yang didapati bersalah membuat panggilan palsu boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tuesday, February 3, 2009

Padah ugut bunuh bapa

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

DIHUKUM...Muhamad Nasli dibawa keluar dari mahkamah <br>selepas dijatuhkan hukuman, semalam.
DIHUKUM...Muhamad Nasli dibawa keluar dari mahkamah
selepas dijatuhkan hukuman, semalam.

MELAKA: Gara-gara mengamuk disebabkan gagal mengawal kemarahan hingga terdorong mengugut membunuh bapanya sendiri dengan mengacukan sebilah pisau, seorang lelaki terpaksa meringkuk di penjara selama 10 bulan selepas dijatuhi hukuman Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan itu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhamad Nasli Md Zain, 34, serta menimbang rayuan dikemukakannya serta hujah Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron.

Dalam penghakimannya, Muhamad Faizal turut menasihati tertuduh supaya mengawal kemarahannya serta memikirkan kesan dan akibat perbuatannya terhadap isteri serta tiga anaknya.

“Tertuduh dengan ini, dihukum 10 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap (27 Julai 2008),” katanya.


Muhamad Nasli dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Md Zain Awang, 59, iaitu dengan mengacukan pisau sambil berkata: “aku akan bunuh kau” hingga menyebabkan mangsa ketakutan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 8679 Paya Luboh, Tangga Batu, Tanjung Kling, dekat sini, pada 26 Januari 2007 dan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Muhamad Juhari memberitahu mahkamah fakta menunjukkan mangsa seorang pesara.

Katanya, pada tarikh kejadian, ketika berada di rumah, pengadu mendapati tertuduh mengamuk menggunakan pisau.

Pengadu cuba menangkap tertuduh bersama anak-anak yang lain, namun gagal apabila dia berjaya melarikan diri.

“Saya memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh atas kesalahan dilakukannya. Sebagai anak, dia sepatutnya melindungi bapanya dan bukan mengugut bunuh,” katanya.

Sementara itu, tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu pada masa depan.

Monday, February 2, 2009

Belasah angkara bomoh


Belasah angkara bomoh

BUKIT MERTAJAM: Angkara percaya tilikan bomoh, seorang pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) trauma akibat dibelasah dan ‘ditawan’ sekumpulan rakan senior selama tiga jam kerana dituduh mencuri dompet, jam tangan, telefon bimbit dan kasut mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu, mangsa, Isma Fahmi Khosim, 19, yang baru sebulan mendaftar masuk ke universiti itu, berjalan seorang diri menuju asrama universiti berkenaan.

Dia kemudian dipanggil dua pelajar senior dan ditarik masuk ke bilik sebelum ditumbuk dan ditendang.

“Saya tidak tahu kenapa dipukul. Selepas membelasah saya termasuk ditumbuk pada bibir hingga berdarah, baru mereka tuduh saya mencuri barangan milik mereka

“Saya menafikan tuduhan itu. Namun, saya diugut akan terus dipukul jika enggan mengaku mencuri,” katanya.

Menurut Isma Fahmi, dua pelajar terbabit memukulnya di kepala dan bahu dengan cota serta lampu suluh panjang menyebabkan dia menjerit kesakitan.

“Mereka menuduh saya mencuri semata-mata kerana percayakan bomoh kononnya nampak wajah saya ketika menilik sedangkan saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Tidak lama kemudian, Isma Fahmi berkata, dua pelajar senior terbabit memanggil tiga lagi rakan mereka dan bertanya soalan sama sebelum terus memukulnya.

“Saya disuruh buka baju dan mengelap lantai dan kemudian disuruh pakai semula baju. Mereka juga paksa saya melakukan tekan tubi sehingga saya menjadi lemah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak melawan ketika dipukul. Disebabkan tidak tahan dengan deraan itu, pada satu ketika dia berpura-pura mengaku mencuri bagi mengelakkan dipukul lebih teruk.

“Tidak cukup dengan itu, mereka merampas telefon bimbit, kasut, wang RM50 dan kad metrik saya sebelum dibebaskan jam 4.30 pagi,” katanya.

Katanya, dia kemudian diarah mengganti barang yang dicuri sebelum Ahad (semalam) menyebabkan dia bimbang berlaku kejadian tidak diingini lalu membuat laporan di Balai Polis Batang Berjuntai, Selangor.

Ibunya, Norazizah Awang, 40, berkata ketika mengambil anak sulungnya itu, Khamis lalu, Isma Fahmi dalam keadaan lemah selain terdapat kesan cedera pada bibirnya.

Norazizah berkata, anaknya kini trauma dan enggan menyambung pelajaran di universiti berkenaan kerana bimbang sesuatu lebih buruk berlaku.

“Saya kesal kejadian seperti itu berlaku dan meminta pihak pentadbiran universiti mengambil tindakan wajar supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sunday, February 1, 2009

Mayat dalam tong sampah

Oleh RIADZ RADZI
riadz@hmetro.com.my

SIASAT... anggota Unit Forensik PDRM mencari bahan bukti<br> di tempat kejadian kes pembunuhan gadis remaja yang dijumpai<br> mati dibakar dalam tong sampah di kawasan perindustrian Mergong,<br> semalam.
SIASAT... anggota Unit Forensik PDRM mencari bahan bukti
di tempat kejadian kes pembunuhan gadis remaja yang dijumpai
mati dibakar dalam tong sampah di kawasan perindustrian Mergong,
semalam.

ALOR SETAR: “Saya ingatkan anak patung, rupa-rupanya kaki manusia,” kata pekerja Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS), Mohd Zawawi Abd Majid, 27, yang menemui mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh di dalam tong sampah ketika bertugas bersama dua rakannya di Jalan Kampung Batin, Kawasan Perindustrian Mergong, dekat sini, pagi semalam.

Mayat remaja perempuan berusia belasan tahun itu dijumpai dalam keadaan sebahagian badannya terbakar kira-kira jam 8.30 pagi ketika ketiga-tiga pekerja terbabit menjalankan tugas harian mereka mengutip sampah di kawasan itu.

Mohd Zawawi berkata, dia bersama dua pekerja MBAS, Rosli Ismail, 32, dan Saedon Hamid, 46, ketika itu baru memulakan tugas untuk mengutip sampah terkejut apabila mendapati sampah yang mahu dimuatkan ke dalam lori itu mengandungi mayat.

“Pada mulanya saya tidak perasan ia mayat manusia kerana ia berada di bawah timbunan sampah. Bagaimanapun saya mula pelik apabila terlihat kaki terjulur keluar dari timbunan sampah itu. Saya cuba menguisnya dengan kayu dan mula mengesyaki ia mayat kerana ada kesan darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Zawawi berkata, tong sampah itu adalah yang pertama dikutip untuk tugasan mereka semalam dan tidak menyangka menjumpai mayat.

“Kira-kira jam 8.30 malam tadi (kelmarin), kami turut mengutip sampah pada tong sampah yang sama, tetapi ketika itu mayat berkenaan tiada. Ia mungkin dibuang awal pagi tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibakar di dalam tong sampah itu.

“Berdasarkan siasatan, ada saksi yang nampak api dan kepulan asap di kawasan mayat dijumpai awal pagi tadi (semalam),” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.

Mohd Zakaria berkata, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat yang lengkap berpakaian itu dan pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Aniesah Ahmad di talian 019-9151981 atau hubungi balai polis berhampiran.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com