Friday, March 6, 2009

Bomoh ekor ratah gadis

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


TEMERLOH: Akibat terlalu kemaruk berjudi nombor ekor, sepasang suami isteri dari Kerdau, dekat sini, tergamak memenuhi tuntutan seorang bomoh temberang supaya menyerahkan anak saudara perempuan mereka untuk disetubuhi.

Permintaan bomoh itu sebagai syarat utama mendapatkan nombor ramalan yang dikatakan memenangi hadiah pertama.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam sekitar November lalu itu, mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun dan bersekolah dipelawa menemankan ibu saudara dan suaminya untuk menemui bomoh terbabit di Kerdau.

Mangsa yang tidak mengesyaki sebarang perkara buruk terus mengikut mereka.


Bagaimanapun, detik hitam gadis itu bermula apabila bomoh berusia 55 tahun itu terpikat dengan kecantikan mangsa sebelum membuat tuntutan pelik itu kepada pasangan tahi judi berkenaan.
Bomoh berhati iblis itu tanpa segan silu meminta pasangan terbabit menyerahkan anak saudara mereka sebagai pengeras jika mahu mendapatkan nombor ekor istimewa yang didakwa memenangi hadiah pertama.

Mulanya, pasangan terbabit enggan memenuhi permintaan bomoh itu, namun selepas dipujuk bomoh terbabit yang berjanji memberikan nombor istimewa itu, akhirnya mereka akur.

Mangsa yang tidak mengetahui perbuatan jijik ibu saudara dan suami dibawa ke sebuah rumah kosong tidak jauh dari kediaman bomoh terbabit sebelum dirogol dalam acara korban tubuh kononnya untuk mendapatkan nombor ekor.

Kejadian itu dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa kerana mangsa bimbang mendapat malu.

Peristiwa itu turut menyebabkan mangsa berubah sikap hingga menimbulkan kehairanan ahli keluarganya.

Mangsa hanya mendedahkan kejadian itu kepada keluarganya baru-baru ini selepas tertekan dengan perbuatan bomoh terbabit hingga menyebabkannya berubah menjadi murung.

Keluarga mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit.

Menurutnya, mangsa dihantar membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) di sini dan pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyak pada kemaluan mangsa akibat dirogol.

Susulan itu, polis melancarkan gerakan memburu bomoh terbabit yang dipercayai sudah menghilangkan diri.

“Kami sedih dan kesal dengan kejadian malang menimpa mangsa gara-gara ketaksuban ibu dan bapa saudaranya terhadap ramalan bomoh semata-mata untuk mendapatkan nombor ekor.

“Oleh itu, polis meminta ibu bapa supaya dapat mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

1 comments:

Anonymous said...

apa nak jadi ni.... :(
semata2 dijanjikan perkara yg tidak pasti, sanggup manusia buat begini....

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com