Sunday, March 8, 2009

Benih Malaysia merempat


Benih Malaysia merempat

BATAM (Indonesia): Nikah bawah tangan. Itulah gelarannya apabila lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita di sini menggunakan sindiket jurunikah tidak bertauliah. Kesannya, si isteri kemudian ditinggalkan begitu saja sehingga ada yang melacurkan diri dan anak pula menjadi merempat.

“Sudah lebih setahun ayah tidak pulang. Saya tidak tahu kenapa. Dulu hampir setiap minggu dia pulang berjumpa saya dan ibu,” kata kanak-kanak berusia 10 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Sulastri kepada Metro Ahad.

Anak tunggal itu ditemui ketika dia bersama tiga lagi kawannya merayau-rayau pada waktu malam di satu kawasan kedai makan di bandar ini.

Apabila didekati, Sulasteri terus meminta wang atau dibelikan makanan, apatah lagi apabila diketahuinya penulis orang Malaysia.


“Hidup saya dan ibu susah. Dulu ibu tak bekerja tapi kami hidup senang kerana ayah beri wang setiap kali pulang melawat kami. Sejak ayah tidak pulang, kami terpaksa berpindah ke rumah lebih kecil dan kini ibu terpaksa bekerja,” katanya.

Apabila ditanya mengenai pekerjaan ibunya, Sulastri berkata dia tidak pasti, namun selepas diselidik, penulis diberitahu ibunya adalah pelacur yang beroperasi di sebuah pusat hiburan tidak jauh dari situ.

Penulis difahamkan, tiga lagi rakan bersama Sulastri pada waktu itu juga senasib dengannya — anak yang ditinggalkan bapa manakala ibu menjadi pelacur sebagai jalan pintas untuk mendapatkan wang lumayan.

Timbalan Pengarah Urusan Agama Islam (Urais) Kota Batam, Drs Zulkifli, berkata selain lelaki Malaysia, ramai lelaki dari Singapura yang berkunjung ke sini berkahwin dengan wanita tempatan.

Menurutnya, statistik menunjukkan seramai 37 warga Malaysia, kebanyakannya dari Johor dan Melaka, bernikah dengan wanita tempatan mengikut saluran sah sepanjang tahun lalu, namun jumlah sebenar diyakini jauh lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kami tidak tahu jumlah tepat kerana perkahwinan mereka tidak didaftar di Kantor Urusan Agama (pejabat agama daerah/KUA) dan Departmen Agama Kota Batam berikutan mereka bernikah menggunakan sindiket jurunikah tidak bertauliah,” katanya.

Untuk melaksanakan nikah bawah tangan atau dikenali juga sebagai nikah sirie di kalangan penduduk tempatan, prosedurnya sungguh mudah dan bayaran yang perlu disediakan kira-kira RM3,000.

Malah, Metro Ahad difahamkan, ada lelaki Malaysia yang ‘nikah bawah tangan’ dengan wanita tempatan turut diberi sijil atau pengesahan KUA dari wilayah lain di Indonesia seperti dari Kalimantan, Jawa atau Sumatera.

Drs Zulkifli berkata, kebanyakan warga asing membabitkan Malaysia dan Singapura lebih suka menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah kerana mereka sebenarnya tidak mampu memenuhi syarat atau prosedur yang ditetapkan.

“Kami tiada masalah untuk menikahkan lelaki Malaysia atau Singapura dengan wanita tempatan, tapi mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan.

“Mereka perlu kemukakan pasport, surat pengesahan bujang atau kebenaran isteri pertama jika sudah berkahwin dan kebenaran mahkamah syariah (jabatan agama) di negara asal mereka.

“Mereka juga boleh mendapatkan surat sokongan dari konsulat negara masing-masing di sini (Indonesia). Jika semua syarat itu dipenuhi, baru mereka boleh dinikahkan,” katanya.

Drs Zulkifli berkata, pemantauan pihaknya mendapati kebanyakan lelaki Malaysia dan Singapura yang mahu berkahwin dengan wanita Batam tidak jujur dan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan baik selepas berkahwin.

“Kebanyakan mereka ada isteri di negara asal tapi merahsiakan perkahwinan kedua di sini. Sebab itu mereka lebih suka menggunakan sindiket jurunikah tidak bertauliah,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada pihak berpendapat nikah bawah atau nikah sirie sah daripada segi hukum syarak, ada juga ulama yang menyifatkannya tidak sah atau haram.

Ini kerana, ia tidak diakui undang-undang kedua-dua negara, menyebabkan anak hasil perkahwinan itu tidak mempunyai hak, selain isteri boleh ditinggalkan pada bila-bila masa, sekali gus menyebabkan isteri teraniaya manakala masa depan anak tidak terjamin.

“Dengan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang, kami dapati jumlah kes perceraian meningkat tapi kami hanya ada rekod berdasarkan pernikahan yang berdaftar.

“Kami tiada rekod pasangan nikah bawah tangan, tapi kami percaya kini ramai isteri yang berkahwin cara itu dengan lelaki Malaysia dan Singapura kini ditinggalkan suami.

“Kami berharap lelaki terbabit selaku bapa kepada kanak-kanak yang kini menjadi gelandangan akan kembali ke sini dan tunaikan tanggungjawab. Mereka wajib memberi nafkah dan membiayai persekolahan darah daging mereka,” katanya.

1 comments:

Anonymous said...

kalau nikah dan kemudian ditinggalkan isteri dan anak, mmg haram hukumnya...

Post a Comment

Thanks for your comment.

Template by : Kendhin x-template.blogspot.com